Lim gesa kerajaan P Pinang jelaskan mengapa kewangan negeri ‘meruncing’


Berita
Lim gesa kerajaan P Pinang jelaskan mengapa kewangan negeri ‘meruncing’

Diterbitkan: May 20, 2025 9:07 PM
Dikemaskini: 9:07 PM

Bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendesak penggantinya, Chow Kon Yeow memberi penjelasan mengenai kewangan negeri yang disifatkannya sebagai “begitu meruncing”.

Berucap di DUN Pulau Pinang hari ini, Lim yang merupakan Adun Air Putih menggesa kerajaan negeri menjelaskan mengapa akaun hasil disatukan merosot begitu banyak dalam tempoh lima tahun.

"Ketua Menteri telah mengakui bahawa kerajaan akan tinggal baki RM50 juta pada akhir 2024. Kini lebihan hasil adalah sebanyak RM65 juta pada 31 Mac 2025 yang kemudian menyusut kepada RM43 juta pada 2 Mei 2025.

"Di sini kerajaan negeri harus menjelaskan mengapa kedudukan kewangan negeri boleh menjadi begitu runcing sehingga akaun hasil disatukan sebanyak RM1.15 billion in 2019 telah merosot dalam tempoh lima tahun sebanyak hampir RM 1.1 bilion pada akhir 2024.

"Ini bermakna defisit kewangan akibat perbelanjaan berlebihan, berturut-turut turun hampir RM 1.1 bilion selama 5 tahun. Bolehkah angka terperinci diberikan macam mana wang ini dibelanjakan?" soalnya.

Lim juga menekankan kepentingan penglibatan sektor swasta melalui usaha sama bagi menjana pembangunan memandangkan kerajaan negeri menghadapi kekangan kewangan.

"Memang bantuan kerajaan persekutuan pada 2024 dalam bentuk wang pendahuluan sebanyak RM100 juta bagi menampung aliran tunai dan projek-projek berpuluh bilion ringgit seperti LRT, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan lebuh raya bertingkat Sungai Dua-Juru menjadi sandaran utama negeri kita,” katanya.



Katanya lagi, Walaupun usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan perbelanjaan adalah baik, ia tidak seharusnya menjejaskan sebarang bantuan kewangan yang diterima oleh rakyat atau menambah beban kewangan mereka.

The New Straits Times sebelum ini melaporkan Chow berkata kerajaan Pulau Pinang sedang mempertimbang untuk mengkaji semula program kebajikannya, terutama iSejahtera.

Dia berkata iai berikutan peningkatan kos dan keperluan untuk menyasarkan penerima bantuan secara berkesan.

Chow menjelaskan program iSejahtera memerlukan sokongan kewangan yang kukuh untuk diteruskan kerana ia memerlukan perbelanjaan yang besar.

MCA kemudian mempersoalkan Chow jika kerajaan negeri sedang berdepan masalah kewangan dan menyifatkan langkah untuk mengkaji semula iSejahtera sebagai tamparan kepada warga emas yang sedia bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Hutang kepada PDC

Lim juga mempersoalkan hutang kerajaan negeri berjumlah lebih RM300 juta dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

"Ketua Menteri pernah menjawab bahawa setakat 2023, kerajaan negeri tidak berhutang kepada PDC. Tiba-tiba tak sampai dua tahun hutang beratus-ratus juta ringgit dengan PDC?

"Mengapa maklumat yang tidak tepat diberikan kepada Dewan Undangan Negeri?

"Di sini saya ingin bertanya sama ada PDC menetapkan harga tender semula 559 ekar tanah di Ladang Byram/Changkat dengan harga yang lebih rendah daripada tender yang pertama. Apabila tanah tersebut dijual secara rundingan terus kepada UMECH Construction Sdn Bhd, ia adalah dengan harga RM 646 juta," katanya lagi.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan selepas urus niaga tanah yang kontroversi itu mendapat kritikan ramai, termasuk oleh media The Edge, pihak berkuasa membatalkan rundingan terus dan beralih kepada proses tender terbuka.

Peralihan itu, katanya lagi, menghasilkan bidaan tertinggi sebanyak RM818 juta daripada konsortium yang diterajui IJM Properties.

"Harga tawaran tender terbuka sebanyak RM 818 juta ini adalah RM 172 juta atau 27 peratus yang lebih tinggi daripada harga rundingan terus RM646 juta. Hasil RM 818 juta ini amat diperlukan dalam keadaan kekangan kewangan kerajaan negeri masa kini.

"Atas sebab yang masih belum difahami, tawaran tender ini ditolak dan dibatalkan dan ditender semula. Difahamkan harga tender semula yang diminta adalah lebih rendah daripada RM 818 juta ini," katanya.

Bonus enam bulan kepada ahli PDC

Lim juga mempersoalkan keperluan untuk memberikan bonus enam bulan kepada anggota perkhidmatan PDC walaupun ada isu yang tidak dapat diselesaikan.

Dia merujuk projek pelebaran jalan dari Jalan Perusahaan ke Jalan Tok Kangar di Seberang Perai Tengah yang bernilai RM21.6 juta. Dia berkata projek itu, yang bermula pada 1 Ogos 2019, sepatutnya siap pada 31 Julai 2021.

"Malangnya ia lewat dan dijangka siap hanya pada akhir 2026. Apakah tindakan yang diambil untuk memastikan ia tidak berulang atau berlarutan lagi, tambahan kos serta tindakan ke atas kontraktor untuk mendapat ganti rugi dan pegawai PDC yang bertanggungjawab?

"Semasa kontroversi sebegini berlaku, timbul pula bayaran bonus enam bulan kepada anggota perkhidmatan PDC, yang paling tinggi di antara semua agensi kerajaan.

"Siapa yang menerima bayaran bonus enam bulan ini? dakah ini mencerminkan layanan yang adil kepada agensi yang terlibat dengan kontroversi yang saya huraikan di atas?" soalnya lagi.

Ulasan