

Berita
Malaysia kaya sumber asli, tapi kita tak manfaatkannya - Dr M
Diterbitkan: May 19, 2025 6:03 PM⋅
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Putrajaya memanfaatkan sepenuhnya sumber asli negara untuk kebaikan rakyat.
Menurutnya, walaupun Malaysia kaya dengan sumber asli yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, pelaksanaannya kelihatan lambat dan tidak memberangsangkan.
“Meskipun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil ketika ini, terdapat banyak peluang di Malaysia kerana tanah kita sangat kaya dengan pelbagai sumber, namun kita tidak memanfaatkannya,” katanya semasa sesi dialog di majlis pelancaran bukunya di Putrajaya hari ini.
“Mineral nadir bumi sangat mahal, tetapi jika ia hanya dibiarkan di dalam tanah, ia tidak akan menjadikan kita kaya. Ia perlu diproses dahulu barulah boleh mendatangkan hasil.
“Namun, sehingga kini, tidak ada seinci pun nadir bumi di negara ini yang dihasilkan dan diproses untuk menjana pendapatan kepada Malaysia,” katanya lagi.
Kenyataan Mahathir tersebut susulan dakwaan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang kerajaan persekutuan melengah-lengahkan pengeluaran prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) di empat negeri yang ditadbir PN.

Minggu lalu, Sanusi dilaporkan berkata bahawa Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kaya dengan nadir bumi dan perlombongannya mampu menjana hasil yang lumayan. Namun dia mendakwa Kedah masih menunggu SOP rasmi daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi perlombongan REE.
Hari ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad menyangkal dakwaan Sanusi dan berkata SOP untuk perlombongan REE telah pun disiapkan dan diedarkan kepada semua negeri sejak Disember 2023.
‘Jangan tunggu infrastruktur’
Mahathir turut menekankan Malaysia bertuah kerana memiliki tanah yang subur dan iklim yang sesuai, dan sepatutnya dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.
“Kita hanya perlu cucuk (tanaman) ke dalam tanah, ia akan tumbuh, tetapi kita tidak buat apa-apa. Di seluruh negara, ada banyak tanah terbiar yang langsung tidak digunakan.
“Itu aset yang boleh kita guna untuk jadi kaya. Lupakan negara lain, fikir apa yang kita boleh buat di negara sendiri dahulu,” katanya.
Katanya lagi, walaupun Malaysia merupakan negara pengeksport yang besar, produk juga perlu dihasilkan untuk pasaran tempatan bagi menjamin sumber negara digunakan dengan cara yang mampu menjadikan negara tidak bergantung kepada sumber luar.

Dia turut berkata walaupun infrastruktur penting untuk memanfaatkan sumber asli, kerajaan tidak wajar menunggu terlalu lama untuk pelaksanaan.
“Ya, kita perlukan infrastruktur, tetapi jika tiada sekalipun, saya rasa kita masih boleh (manfaatkan sumber asli) kerana tanah kita subur dan kita dikelilingi laut yang penuh dengan ikan.
“Kita tak perlu infrastruktur untuk menanam dan tangkap ikan. Sudah tentu lebih baik jika ada infrastruktur, tetapi kita tidak boleh tunggu,” katanya lagi.
Dia turut mendakwa yang walaupun sektor swasta menunjukkan minat untuk meneroka bidang tersebut, kerajaan dilihat masih "berat hati" untuk memberi kebenaran.
“Kita dapati yang kita tinggal di negara yang kaya, tetapi kita miskin, dan kita tidak sepatutnya miskin.
“Kerajaan patut galakkan penerokaan tanah, sungai, laut dan gunung-ganang kita. Semua ini adalah aset yang boleh digunakan untuk merancakkan ekonomi negara,” katanya lagi.
‘AS akan tarik balik kadar tarif’
Sementara itu, mengulas mengenai kadar tarif baru oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Mahathir berpendapat Trump mungkin akan menarik balik langkah tersebut untuk mengelakkan inflasi dalam negara.
Dia berkata kesan tarif itu akan turut dirasai oleh rakyat AS yang terpaksa menanggung harga barang yang lebih tinggi.
“Orang Amerika akan hadapi kos sara hidup yang tinggi, (dan) ia tidak akan dapat bertahan lama. Walaupun mereka cuba bawa balik industri kembali ke AS, mereka tetap tak mampu bersaing dengan barangan import dari negara seperti China.
“Berapa lama AS boleh bertahan? Saya rasa tak lama,” katanya lagi.
Awal tahun ini, AS menetapkan adar tarif sehingga 145 peratus ke atas barangan import dari China, dan China bertindak balas dengan mengenakan tarif sehingga 125 peratus ke atas beberapa barangan AS.
Menjelang rundingan perdagangan AS-China di Switzerland awal bulan ini, Trump mencadangkan untuk mengurangkan tarif ke atas barangan China kepada 80 peratus, sebelum ia diturunkan kepada 30 peratus minggu lalu.
Buku Mahathir yang bertajuk A Conversation with Tun Dr Mahathir bin Mohamad: A Legacy of Leadership and Vision telah dilancarkan di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Sesi dialog sempena pelancaran dikendalikan oleh pemegang amanah yayasan, Vaseehar Hassan dan pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid.
Ulasan
Catat Ulasan