
Malaysia sasar sifar tarif dalam rundingan perdagangan dengan AS
05 Mei 2025 05:52pm
Masa membaca: 1 minit
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menyasarkan untuk mencapai sifar tarif timbal balas bagi Malaysia dalam rundingan perdagangan yang sedang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), terutamanya melibatkan sektor-sektor strategik.Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, rundingan tersebut bertujuan mendapatkan terma perdagangan yang lebih baik bagi negara.
“Kita meneruskan rundingan ini supaya sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tarif, tetapi objektif utama adalah memastikan Malaysia tidak dikenakan sebarang tarif, terutama dalam sektor tertentu yang penting bagi negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, persetujuan rasmi dengan AS belum dicapai kerana banyak perkara masih perlu diperhalusi dalam proses rundingan.
“Dalam rundingan mesti ada situasi menang-menang. Ada perkara yang perlu diberi dan ada yang perlu diterima sebagai timbal balik.
“Perbincangan awal ini bertujuan menentukan skop dan isu-isu utama yang akan dirundingkan,” jelasnya.
Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menandatangani perjanjian kerahsiaan (Non-Disclosure Agreement, NDA) sebagai persediaan rundingan rasmi.
“Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Mastura Ahmad Mustafa yang merupakan ketua perunding Malaysia akan memulakan rundingan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) bermula esok pagi,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan