Manfaat RCEP, CPTPP perkukuh kedudukan strategik negara - Mohd Syahir

Manfaat RCEP, CPTPP perkukuh kedudukan strategik negara - Mohd Syahir

05 Mei 2025 06:34pm
Masa membaca: 2 minit

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dengan mempercepatkan kepelbagaian rantaian bekalan serta memperkukuh hubungan perdagangan di peringkat ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membuktikan keupayaan negara membuat keputusan ekonomi bebas daripada pengaruh kuasa besar dunia.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, Malaysia turut boleh memanfaatkan rangkaian kerjasama ekonomi seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Dalam konteks ini, Malaysia tidak boleh hanya bertindak secara responsif. Sebaliknya, kita perlu mengukuhkan kedudukan strategik dalam ekosistem perdagangan global yang semakin berpecah.

“Justeru, Parlimen Malaysia hendaklah menolak sebarang bentuk penindasan, dominasi atau perlakuan berat sebelah yang menjejaskan kebebasan negara dalam menentukan hala tuju ekonomi,” katanya ketika berucap pada Sidang Khas Dewan Rakyat, Isnin.

Tambahnya, menangani cabaran tarif balas daripada Amerika Syarikat (AS) memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak, bukan hanya Kerajaan Persekutuan.

“Pendekatan bersepadu ini perlu merangkumi penglibatan pemain industri, dewan perniagaan, teknokrat, ahli akademik serta kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri wajar diberikan maklumat awal dan terperinci mengenai sebarang perubahan dasar tarif luar negara supaya mereka dapat menyesuaikan semula insentif negeri, melaraskan strategi pelaburan, dan membantu industri tempatan beradaptasi dengan perubahan landskap dagangan global,” jelas beliau.

Menurutnya, beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang sudah memulakan langkah ke arah tersebut, dan negeri-negeri lain disaran menyusul.

“Kerajaan negeri juga boleh mempertimbangkan untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membahaskan tahap persediaan masing-masing,” ujarnya.

Ulasan