Maruah komuniti warisan Kg Sg Baru tidak boleh digadai
May 11, 2025
ohamad Rosharizan Mohd Rozlan
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menyatakan solidariti penuh terhadap penduduk Kampung Sungai Baru yang masih bergelut dengan isu pengambilan tanah secara tidak adil dan membebankan.
Pengerusinya, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, Anak Malaysia berpendirian bahawa tindakan mengambil alih tanah tanpa rundingan yang telus dan persetujuan yang adil mencabuli hak asasi penduduk yang telah lama menetap di situ.
“Maruah komuniti warisan seperti Kampung Sungai Baru tidak boleh digadaikan atas nama pembangunan semata-mata,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Wilayah Persekutuan agar tampil memberikan penyelesaian yang konkrit.
Menurutnya, suara penduduk bukan sekadar rayuan, tetapi merupakan satu tuntutan keadilan yang perlu diberikan perhatian segera.
Tambahnya, Anak Malaysia menyokong penuh segala usaha aman yang dilakukan oleh penduduk Kampung Sungai Baru demi mempertahankan hak mereka.
“Anak Malaysia bersedia untuk turut serta dalam sebarang usaha solidariti serta menjadi jambatan antara suara rakyat dan pihak berkepentingan.
“Akhir sekali, kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar cakna dan berdiri bersama komuniti yang terpinggir akibat tekanan pembangunan yang tidak beretika,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 11/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan