Nasihat terakhir penghisap vape tegar


Nasihat terakhir penghisap vape tegar

10 Mei 2025 10:23am
Masa membaca: 2 minit

Selepas dua hari berhenti hisap vape, lelaki tersebut mendakwa mengalami sesak nafas dan terus dikejarkan ke hospital.

SHAH ALAM - Seorang pesakit jantung yang mengalami komplikasi akibat ketagihan vape atau rokok elektronik sempat berkongsi nasihat sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Rabu lalu.

Berita pemergian itu dikongsi sendiri oleh isterinya di ruangan komen dalam hantaran video pesanan yang dimuat naik lelaki berkenaan di akaun TikTok @radzirockrider pada 28 April lalu.

Menerusi video berkenaan, lelaki tersebut menceritakan detik sukar dan mencabar dilalui sepanjang empat tahun menghisap vape yang pada asalnya bermula kerana tekanan kerja.

"Dua minggu lepas, saya dimasukkan ke wad kerana jantung lemah. Jantung saya tinggal tiga peratus sahaja untuk berfungsi dan terpaksa ditidurkan untuk diberi oksigen.

"Saya memang penghisap tegar, kalau menunggang motosikal untuk melancong ke Thailand contohnya, memang sebelah tangan pegang vape.

"Bila berhenti hisap vape selama dua hari, saya sesak nafas dan kemudiannya dibawa ke hospital,” katanya.

Dia turut menceritakan keadaan dirinya menjadi semakin tenat sehingga memerlukan bantuan oksigen dan menjalani prosedur menebuk paru-paru bagi mengeluarkan cecair kuning serta nanah.

Tambahnya dalam video berdurasi enam minit itu, sekurangnya empat orang yang ditahan di wad bersamanya meninggal dunia akibat ketagihan vape dan kesemuanya masih muda.

"Kepada yang masih ada peluang untuk berhenti, tolonglah berhenti. Vape bukan sahaja buat paru-paru rosak tetapi jantung pun boleh jadi lemah.

"Sengsara bila dah jadi macam ini," katanya.

Ulasan