

Berita
NFA kes Faisal Halim: Pemuda PAS, Amanah gesa jelaskan di parlimen
Diterbitkan: May 8, 2025 6:17 PM
Dikemaskini: 6:36 PM
Pemuda PAS melahirkan rasa kecewa yang amat mendalam terhadap keputusan terbaru mengklasifikasikan siasatan kes serangan simbahan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim sebagai 'tiada tindakan lanjut' (NFA).
Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan perkembangan itu suatu titik hitam dalam sejarah sukan negara dan kerajaan mesti membentangkan kepada rakyat mengenai asas kepada keputusan NFA yang dikeluarkan.
Jelasnya, kes ini bukan soal Faisal semata-mata, tetapi adalah soal keselamatan atlet negara yang merupakan tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Dalam Negeri.
"Pihak berkuasa mesti bertindak menurut neraca keadilan. Adalah menjadi tanggungjawab negara memberi jaminan keselamatan kepada rakyatnya, tanpa mengira siapa dan apakah latar belakangnya.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Peguam Negara (AGC) mesti membentangkan kepada rakyat mengenai asas kepada keputusan NFA yang dikeluarkan bagi mengelakkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhakis terhadap pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, peguam yang mewakili penyerang sayap Selangor FC itu memaklumkan pihaknya menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara mengenai status siasatan kes itu.
Pada 5 Mei tahun lepas, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 27 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Faisal mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan memaksa berehat selama setahun daripada beraksi.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar juga menuntut kerajaan memberikan penjelasan tentang perkara ini di parlimen.
"Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia, bahkan memberi gambaran yang sangat membimbangkan terhadap tahap keselamatan awam serta kebertanggungjawaban pihak berkuasa dalam menangani jenayah berat yang berlaku secara terang-terangan.
"Apakah benar Malaysia sebuah negara hukum jika tiada pembelaan dan keadilan kepada rakyat dalam kes seperti ini?
"Kes ini telah menggemparkan negara dan melibatkan kecederaan serius ke atas mangsa yang menjadi inspirasi ramai anak muda Malaysia. Maka, adalah sangat tidak wajar jika kes sebesar ini ditutup tanpa sebarang pendakwaan atau penjelasan yang munasabah kepada umum," katanya.
Tambahnya, Pemuda PAS berharap pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan jika kerajaan tidak memandang serius perkara ini.
"Jangan sampai rakyat mengalami defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa, hanya kerana kegagalan dan sikap sambil lewa kerajaan dalam menjamin dan memastikan keselamatan warganya," kata Afnan.

Sementara itu Pemuda Amanah turut berkongsi sentimen sama, menggesa agar polis dan Jabatan Peguam Negara tampil memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat tentang asas keputusan NFA tersebut.
Timbalan ketuanya, Danial Al-Rashid berkata, rakyat berhak mengetahui sama ada keadilan telah benar-benar ditegakkan atau digugurkan atas sebab yang tidak munasabah.
"Pemuda Amanah menggesa agar pihak berkuasa membuka kertas siasatan baru adalah bagi mendapatkan keadilan buat Faisal yang terpaksa menanggung akibat ini seumur hidup," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan