Orang Malaysia jangan malas kerja
Oleh Mohammad Radzi Mohd Zin
2 Mei 2025, 6:40 am
ANTARA berita menggembirakan sempena Hari Pekerja semalam adalah pengumuman kadar pengangguran negara mencatatkan penurunan kepada 3.1 peratus, terendah dalam tempoh sejak 10 tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penurunan itu disumbangkan oleh peningkatan jumlah pekerjaan dan penyertaan tenaga buruh di pasaran.
Katanya, jumlah pekerjaan meningkat daripada 16.1 juta pada 2013 kepada 17.34 juta tahun ini.
“Ini menunjukkan pemulihan ekonomi yang berterusan serta kejayaan pelbagai inisiatif kerajaan dalam merangsang pasaran kerja,” katanya dalam majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 di Bukit Jalil.
Bilangan penduduk bekerja pada Januari 2025 terus bertambah, mencatatkan peningkatan 0.3 peratus untuk mencapai 16.68 juta orang berbanding 16.63 juta orang pada Disember 2024.
Sememangnya, Malaysia adalah ‘syurga’ bagi pekerja asing dalam mencari rezeki. Sering kita dengar pengakuan pekerja asing Indonesia atau pun Bangladesh yang berkata, di sini mudah untuk cari duit RM50 ke RM100 sehari.
Dalam sektor pembinaan pula, gaji pekerjanya adalah antara RM60 ke RM150 sehari mengikut kemahiran. Tukang bancuh simen pun dibayar RM60 sehari. Kalau tukar pasang tiles pula upahnya lagi lumayan mencecah RM120 ke RM150 sehari.
Yang penting, ringan tulang. Selain daripada itu, perlu sedia bekerja dalam sektor yang tidak popular termasuk kotor, bahaya dan sukar 3D (Dangerous, Dirty and Difficult).
Selain itu, sektor yang kekurangan pekerja adalah sektor perladangan terutama kelapa sawit. Untuk rekod, kerajaan meluluskan kuota khas seramai 24,570 pekerja asing bekerja kuota khas berkenaan adalah untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan ketika ini.
Kuota khas itu tidak membabitkan sektor-sektor lain seperti pembuatan dan perkhidmatan yang masih kekal dibekukan buat masa ini.
Ini menunjukkan sebenarnya peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan itu sentiasa ada. Cuma, mereka perlu mengubah sikap. Jangan pilih kerja waima jika anda seorang lepasan universiti.
Adalah lebih baik dan terhormat bekerja di sektor 3D atau perladangan berbanding menjadi statistik penganggur negara. Biar pakaian kotor dan berdebu kerana kerja di ladang asalkan poket berisi berbanding pakaian kemas tetapi duit sekupang pun tak ada dalam poket. Buang sifat malas bekerja.
Sebagai perbandingan, kadar pengangguran dalam kalangan warga Singapura pula kekal 3.1 peratus pada Mac berbanding 2.9 peratus pada Disember 2024.
Yang sedikit melegakan apabila pada Julai 2023, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, lebih 10,000 pekerja tempatan berminat untuk bekerja dalam sektor pekerjaan 3D di negara ini. (Dapatan program Inisiatif Pendapatan Rakyat)
Cuma kesukarannya adalah mahu meyakinkan majikan dan industri 3D untuk beralih daripada menggunakan pekerja asing kepada pekerja tempatan.
Mohd Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan