‘PAS cemburu DAP semakin jinak lepas kerjasama dengan Umno’


Berita
‘PAS cemburu DAP semakin jinak lepas kerjasama dengan Umno’

Diterbitkan: May 8, 2025 3:29 PM
Dikemaskini: 3:37 PM

Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub mendedahkan apa yang menurutnya sebagai motif sebenar di sebalik tumpuan berterusan PAS terhadap kerjasama Umno dengan DAP.

Namun kenyataannya seperti bernada negatif terhadap DAP dan menggambarkan parti itu tidak lagi setegas dahulu.

“PAS telah berusaha menjinak kuda liar DAP selama ‘berPASDAP’’ dalam satu kandang. Tapi PAS tidak mampu menunggang DAP kerana PAS suka ‘masuk dari belakang’ sehingga ditendang oleh kuda liar itu. Akhirnya PAS mengundur diri dan keluar kandang.

“Hari ini kuda liar yang hampir jinak itu bersama Umno dan ia semakin jinak dalam kandang BN-PH,” katanya seperti dipetik portal Umno Online.

Perkembangan itu, kata Mustapha, membuatkan PAS “menyesal dan cemburu” lalu menuduh Umno telah mensucikan DAP menerusi kerjasama mereka.

Justeru, Mustapha berkata naratif “UmDAP” oleh PAS mencerminkan rasa kesal dan cemburu mereka terhadap kejayaan dua gabungan itu, iaitu PH dan BN, dalam membentuk kerajaan persekutuan.

Dia juga mendakwa PAS pernah mengeluarkan pelbagai fatwa semasa “berkahwin” dengan DAP, termasuk memberikan bekas setiausaha agung, Lim Guan Eng gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz serta membenarkan penyokong mereka mengundi DAP.


“PAS yang telah memberi gelaran kepada Lim Guan Eng sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. PAS yang menghalalkan penyokongnya mengundi DAP. PAS yang menjulang bendera DAP buat pertama kalinya dalam PRK Galas. PAS yang berdakap dan bercium dengan DAP.

“Umno tidak pernah lakukan semua itu. Kita hanya berkawan di dalam satu kandang. Umno tidak terikat dengan DAP dan bukan menjadi barua DAP.

“Umno tetap Umno. Umno itu Islam dan Melayu. Umno itu Raja-raja Melayu. Umno itu tanah airnya Melayu.

“(Berkenaan) Kerjasama Umno dengan PH, Umno boleh keluar kandang sekiranya agama, bangsa, raja-raja dan negara ini tidak dihormati serta diterima PH,” katanya lagi.

PAS pertama kali bekerjasama dengan DAP dalam pilihan raya umum ke-10 pada 1999, menerusi platform Barisan Alternatif.

Selepas berdepan kegagalan, kerjasama itu diteruskan di bawah platform baru, iaitu Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015.

Mula bekerjasama selepas puluhan tahun berseteru, Umno dan DAP sering berdepan cabaran untuk meyakinkan penyokong masing-masing mengenai kerjasama antara dua parti itu.

Agenda negara sekular DAP dan slogan “Malaysian Malaysia” sering digunakan PAS untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi Melayu – strategi yang pernah digunakan oleh Umno sendiri sebelum ini.

Ulasan