Peluang Malaysia jadi kuasa industri unsur nadir bumi



Peluang Malaysia jadi kuasa industri unsur nadir bumi

Konflik dagang AS-China
May 8, 2025

KUALA TERENGGANU: Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China membuka peluang strategik kepada Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar dalam industri unsur nadir bumi global.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sekatan yang dikenakan AS terhadap kemasukan produk dari China telah mendorong negara itu mengambil tindakan balas.

Antarahya kata beliau, termasuk menyekat eksport bahan kritikal seperti semikonduktor dan unsur nadir bumi, yang memberi kesan langsung kepada industri teknologi global.

“Di sini saya melihat Malaysia mempunyai ruang untuk memanfaatkan kelebihan kita apabila Malaysia sendiri mempunyai deposit nadir bumi yang tinggi selain daripada China satu-satunya pengeluar yang lain.

“Dan juga mempunyai kepakaran untuk memproses nadir bumi di peringkat licin sehingga menghasilkan unsur-unsur penting di dalam industri ini adalah Lynas yang berada di Malaysia.

“Deposit nadir bumi yang banyak yang berada di dalam negara kita yang bernilai lebih daripada RM800 bilion nilai mentah yang boleh dimanfaatkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Amzad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan Parlimen Malaysia berkata, perkembangan terbaru menunjukkan China kini lebih terbuka untuk berkongsi teknologi pemprosesan nadir bumi yang sebelum ini dilindungi secara eksklusif.

“Saya tertarik dengan perkembangan terkini kalau sebelum ini China sangat protektif menjaga ekslusiviti teknologi memproses nadir bumi, dan saya difahamkan melalui laporan yang disiarkan baru-baru ini bahawa China bersedia untuk berkongsi teknologi ini.

“Saya rasa ini sesuatu yang baik begitu juga Malaysia perlu mengambil manfaat supaya menjadikan Malaysia sebagai pusat di mana kita boleh menjadi alternatif kepada bahan-bahan yang diperlukan oleh negara-negara sebelah sana.

“Dalam masa sama saya rasa China sendiri boleh melihat Malaysia menjadi jambatan penghubung untuk produk perindustrian mereka,” katanya.

Terdahulu, pentadbiran Trump mengenakan tarif sehingga 145 peratus ke atas barangan import dari China.

Sebagai tindak balas, Beijing pula memperkenalkan tarif timbal balik sehingga 125 peratus terhadap barangan dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak memberikan pengecualian terhadap beberapa barangan tertentu yang dianggap penting, seperti produk elektronik terpilih bagi mengurangkan kesan ekonomi lebih besar. – HARAKAHDAILY 8/5/2025

Ulasan