
May 11, 2025
PUTRAJAYA: Nurul Izzah Anwar yang sedang diketengahkan sebagai calon Timbalan Presiden PKR menjelang pemilihan bakal diadakan parti itu dilihat akan mendatangkan isu dan polemik kekeluargaan.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu berkenaan telahpun dipersoal dan dibangkitkan oleh orang ramai yang melihat pencalonan itu sebagai satu langkah ‘nepotisme’.
“Kalau Presiden daripada bapa (Dato’ Seri Anwar Ibrahim), Timbalan Presiden pula anak, itu yang diviralkan. Jadi pada saya pemilihan ini hak urusan parti masing-masing, dan kita juga akan tengok bagaimana (keputusan pemilihan).
“Betul juga (Dato’ Seri) Rafizi (Ramli) sebut, ‘kepala lain, badan lain’. Ia dua wajah yang berbeza, mungkin ini di antara ‘ketimbang’,” katanya dalam sidang media pelancaran Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero (GTZ2030), di sini hari ini.
Nurul Izzah baru-baru ini mengesahkan bahawa beliau akan bertanding sebagai Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR dijadual pada 24 Mei ini bagi mencabar Rafizi yang juga Menteri Ekonomi.
Seramai 201 Ketua Cabang PKR dari seluruh negara secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah bagi jawatan tersebut bagi sesi 2025 hingga 2028.
Semalam, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Ia sebagai langkah menghormati mandat akar umbi, sambil mendakwa bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan meskipun tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri. – HARAKAHDAILY 11/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan