
Pendidikan guna AI belum kukuh
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
4 Mei 2025, 6:30 am
MUKADIMAH
DALAM realiti, kita tidak akan dapat menyaksikan ketua kerajaan ‘bertinju’ atau ‘berguling’ dengan ahli politik lain hanya kerana berbeza ideologi dan perjuangan. Bagaimanapun, di satu dunia alternatif melalui teknologi Kecerdasan Buatan (AI), semuanya pasti menjadi, malah membawa kepada satu lelucon politik yang menghiburkan.
Persoalannya, apakah hanya itu tujuan AI dibangunkan? Apakah AI membawa lebih banyak manfaat atau mudarat kepada manusia? Bagaimana AI memberi kesan kepada tamadun manusia? Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), SIRAJ JALIL berkongsi perkara itu di Putrajaya, baru-baru ini. Turut membantu, jurugambar, FAIZ ALIF ZUBIR.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa pandangan anda tentang penggunaan teknologi AI?
SIRAJ: Wacana tentang AI masih belum selesai memerlukan tindakan berterusan semua pihak mengenai etika, dasar dan pendidikan. AI menjadi sebahagian daripada perbualan harian manusia. Istilah AI bukan asing sejak kemunculan sistem seperti ChatGPT. Walaupun terdapat istilah teknikal kompleks seperti model bahasa, mesin pembelajaran, algoritma dan big data, AI meresap dalam kehidupan harian, namun, perkembangan ini membawa implikasi besar terutama dalam sistem pendidikan.
Penggunaan AI yang memudahkan tugasan seperti kerja rumah dalam masa singkat tanpa memerlukan pemikiran mendalam berpotensi melemahkan daya fikir kritikal pelajar. Ini amat membimbangkan kerana pemikiran kritikal asas pembinaan kepimpinan berkualiti.
Jika tiada kawalan atau garis panduan pendidikan yang jelas dalam penggunaan teknologi ini, wujud jurang besar dalam pembentukan minda generasi akan datang terutama generasi Z dan Alpha.
Pendekatan kerajaan tertumpu kepada mengajar cara menggunakan teknologi, sedangkan kebanyakan orang sudah mampu belajar secara kendiri. Tanpa bimbingan formal, penggunaan teknologi boleh membawa kepada kesan buruk termasuk salah guna, jenayah siber dan penyebaran kandungan negatif.
Statistik semasa turut menunjukkan peningkatan dalam isu berkaitan etika, perilaku dalam talian, serta kandungan digital yang negatif. Oleh itu, apa hasil yang boleh kita harapkan daripada AI jika kita masih belum menyediakan asas pendidikan teknologi yang kukuh? Ini bukan isu baharu, malah sejak 2008 lagi, kajian memberi amaran tentang kesan jangka panjang penggunaan teknologi tanpa panduan jelas.
Apakah kajian itu dan implikasinya?
AI tidak terbentuk kerana internet, sebaliknya internet memperluas fungsi AI melalui ketersediaan data dan keupayaan automasi. Satu penemuan utama kajian berkaitan AI oleh Machine Intelligence Research Institute (MIRI) – AI sebenarnya tidak ‘peduli’ akan manusia. AI tidak mempunyai kesedaran atau empati.
Pembangun teknologi AI kini berusaha mencipta sistem menyerupai otak manusia dengan keupayaan berfikir dan bertindak secara automatik. Ini membawa kebimbangan AI berpotensi mengambil alih tugas manusia secara menyeluruh, seolah-olah manusia menjadi ‘hamba’ kepada teknologi mereka sendiri. MIRI menyeru kerajaan termasuk Amerika Syarikat mempertimbangkan pelaksanaan moratorium atau penangguhan terhadap pembangunan AI. Tujuannya memberi ruang kepada penilaian semula terhadap risiko dan kesan jangka panjang teknologi ini.
Jika bandingkan, era media sosial berkembang pesat dalam tempoh 18 hingga 20 tahun terakhir membawa banyak isu tidak dijangka, termasuk penyebaran maklumat palsu. Walaupun pelbagai kempen dan penguatkuasaan kerajaan lakukan, ia tetap sukar dikawal. Jika kita tidak berhati-hati berada dalam era AI, cabarannya mungkin lebih besar.
Apa keseimbangan antara manfaat dan risiko AI perlu ditekankan?
Fenomena ini memberi kesan kepada cara masyarakat berfikir sedangkan asas kecerdasan ialah akal. Tanpa garis panduan jelas dan pendidikan tepat, kita berisiko membentuk generasi berdepan kecelaruan pemikiran. Namun, kita tidak seharusnya menolak AI sepenuhnya. Cuma, memerlukan kawalan rapi, dasar pendidikan komprehensif dan kesedaran awam supaya manfaatnya dimaksimum dan risikonya minimum.
Tiada satu pun ciptaan manusia yang bebas sepenuhnya daripada kesan negatif dan manfaatnya juga besar. Ia mempercepat urusan pentadbiran, membantu dalam bidang seni kreatif, memudahkan kerja-kerja perakaunan, serta meningkatkan kecekapan pengurusan data.
Namun, AI boleh dimanfaat oleh pihak berniat jahat mengejar keuntungan melalui jalan salah, memudah penciptaan kandungan palsu kelihatan sangat realistik seperti video palsu mengenai bencana atau makhluk aneh yang disebar semata-mata menarik perhatian dan tontonan.
Ramai pengguna faham AI setelah mencuba perkhidmatan seperti ChatGPT membantu menyelesaikan pelbagai tugasan. Namun, kesan negatif masih kurang diberi perhatian terutama dari sudut sosial, ekonomi, dasar kerajaan dan perubahan demografi. Contoh nyata berlaku apabila murid sekolah menengah didapati mempunyai akses kepada AI dan ini boleh membawa kepada dua hasil berbeza iaitu memperluas pengetahuan namun membuka ruang kepada penyalahgunaan seperti kes di Johor menyaksikan teknologi AI diguna mencipta dan menjual gambar bogel yang dimanipulasi.
KECELARUAN, KEMEROSOTAN DAN KERUNTUHAN PEMIKIRAN KRITIKAL
Apakah sudah ada simptom kecelaruan akal dan kemerosotan pemikiran kritikal di Malaysia?
Ya dan boleh dilihat jelas dalam tingkah laku masyarakat yang bergantung terhadap media sosial. Laporan dan data oleh Hootsuite, We Are Social dan Tinjauan Pengguna Internet MCMC menjurus kepada rakyat Malaysia mengakses internet lebih lapan jam sehari. Kira-kira dua jam setengah hingga dua jam 45 minit diperuntukkan kepada media sosial merentas pelbagai platform.
Walaupun statistik khusus penggunaan AI belum tersedia secara meluas, kita dapat kenal pasti trend awal melalui perubahan sikap dan tingkah laku masyarakat. Apabila seseorang menerima notifikasi media sosial, rata-rata segera membuka tanpa fikir panjang. Ini menunjukkan tahap kebergantungan tinggi terhadap interaksi digital dan kesukaran berpisah daripadanya.
Apabila ChatGPT digunakan secara meluas terutama dalam kalangan mahasiswa, ia memperlihat bentuk kebergantungan baharu. Setiap kali timbul keraguan atau tugasan sukar, ramai terus merujuk kepada AI. Lama-kelamaan, kecenderungan ini menghakis keupayaan berfikir secara mendalam dan kritikal. Tugas berfikir dipindahkan kepada AI.
Inilah situasi yang berlaku kepada Kementerian Pendidikan (KPM) tentang isu Jalur Gemilang. Jika fenomena ini tidak ditangani dengan pendekatan dasar dan pendidikan yang menyeluruh, kita berisiko menyaksikan perubahan norma manusia daripada insan berfikir kepada insan bergantung.
ISU JALUR GEMILANG
Boleh jelaskan?
Kementerian berkait secara langsung dengan situasi kelemahan pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar, termasuk hasil kerja yang tidak melalui proses pemikiran mendalam.
Sebagai institusi utama dalam sistem pendidikan negara, KPM berperanan sebagai peneraju atau flagship menetapkan dasar dan penanda aras pendidikan nasional.
Namun, terdapat kelemahan apabila penggunaan teknologi AI tidak disertai dasar pendidikan jelas dan menyeluruh. Contohnya, insiden melibatkan rekaan Jalur Gemilang yang salah bukan sahaja mencerminkan kecuaian dari sudut ketepatan fakta, tetapi menunjukkan hasil kerja dibuat tanpa pemikiran kritikal.
Kesilapan sebegini bukan semata-mata isu teknikal seperti ‘terlebih atau tidak cukup bintang’ pada Jalur Gemilang, tetapi, kegagalan membina pemikiran analitikal. Ini membuktikan sistem pendidikan negara masih belum bersedia menangani penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab.
Penting untuk KPM mengambil langkah serius bagi menggubal dasar menyeluruh berkaitan AI termasuk aspek etika, pemikiran kritikal dan kefahaman konteks. Tanpa intervensi berkesan, kita akan terus menyaksikan hasil kerja tidak mencerminkan nilai intelektual sebenar dan kualiti pendidikan yang diharap.
Persoalan besar mengenai tahap pemikiran kritikal dalam kalangan individu yang terlibat: Tidakkah tiada siapa sedar kesilapan ini semasa proses kerja? Seseorang yang mempunyai daya pemikiran kritikal akan meneliti hasil kerja dengan lebih teliti dan berhati-hati. Mereka akan bertanya hal yang kelihatan janggal atau tidak tepat.
Sikap culas atau sambil lewa dalam melaksana tugasan sering dikaitkan dengan ketiadaan pemikiran kritikal.
KPM masih belum cukup bersedia atau kritikal memahami dan mengawal selia penggunaan AI secara efektif dalam sektor pendidikan. Penting untuk kerajaan memperkukuh proses pemikiran kritikal dalam kalangan penjawat awam serta membina dasar jelas dan menyeluruh berkaitan penggunaan AI supaya tidak menjejaskan integriti dan kualiti sistem pendidikan negara.
Adakah isu pemikiran kritikal termasuk kes terbitan ilustrasi Jalur Gemilang oleh Sin Chew Daily pada muka hadapan akhbarnya?
Samalah. Kita tahu betapa penting kesedaran tentang bagaimana AI berfungsi dan kesannya terhadap manusia. Sifat semula jadi manusia apabila menggunakan AI tanpa pengetahuan mencukupi membawa kepada kemerosotan keupayaan berfikir secara kritikal kecuali seseorang mempunyai ilmu dan kemahiran mengendalikan AI dengan benar, justeru, teknologi ini membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat.
TAMADUN
Adakah AI mengancam ketamadunan manusia?
Tamadun bukan sekadar kemajuan infrastruktur atau teknologi. Tamadun sebenar dibina atas asas manusia yang memiliki pemikiran waras, akal murni dan nilai-nilai kemanusiaan yang luhur. Dalam masyarakat bertamadun, akhlak, sikap sivik dan kecintaan terhadap keamanan dan keharmonian menjadi asas kehidupan.
Namun, AI berpotensi besar menyumbang kepada kemerosotan ketamadunan manusia. Penting difahami kemerosotan bukan bermula dengan AI semata-mata. Gelombang perubahan paling besar bermula era teknologi digital secara keseluruhan menyaksikan nilai asas ketamadunan manusia terhakis secara perlahan.
Apabila elemen ini hilang, kita akan menyaksikan peningkatan tingkah laku menyalahi fitrah manusia seperti keganasan, penyebaran kebencian atau manipulasi maklumat. Ini semakin ketara apabila kesan negatif media sosial dan teknologi digital mendominasi kehidupan seharian. Walaupun media sosial dan AI bukan secara mutlak sesuatu yang buruk, kesan terhasil daripada penggunaan terutama tanpa panduan nilai dan etika lebih banyak memudaratkan daripada manfaat.
Kesan paling besar dan membimbangkan hasil penggunaan teknologi secara tidak terkawal adalah perubahan sikap manusia yang bukan sekadar luaran, tetapi mencerminkan kemerosotan nilai ketamadunan dalam masyarakat. Sikap yang baik cerminan utama bagi individu bertamadun. Seseorang yang memiliki akhlak mulia, hormat orang lain dan rasional lambang masyarakat maju dan beradab.
Apabila teknologi sepatutnya menjadi alat kebaikan digunakan tanpa bimbingan nilai, ia sering mengundang kecelaruan bukan hanya dari segi maklumat, malah emosi dan moral.
Ini dilihat dengan jelas melalui ruang komen di media sosial. Walaupun kandungan dikongsi positif, komen negatif tetap muncul. Ini menunjukkan walaupun teknologi bersifat neutral dan berpotensi untuk kebaikan, tanpa sikap yang betul dan pemikiran berasaskan nilai, ia boleh membawa kepada kemerosotan tamadun.
LAWAK JENAKA
Tetapi AI juga berfungsi sebagai saluran kreativiti dan bentuk hiburan. Komen?
Bukan AI menjadi punca ketidaktamadunan, tetapi cara ia diguna. Apabila AI digunakan sebagai bentuk hiburan atau jenaka, misalnya menggambarkan sikap seseorang dalam bentuk parodi atau rekaan, ini sebenarnya contoh penggunaan teknologi.
AI tidak semestinya salah. Ia tidak menjadi masalah kerana diguna dengan pengetahuan, kemahiran dan dalam batasan yang tidak membahayakan. Dalam mana-mana tamadun termasuk dalam Islam, hiburan diiktiraf sebagai sebahagian daripada kehidupan, selagi tidak melalaikan atau menyalahi nilai moral.
Begitu juga AI. Teknologi ini secara asas bersifat neutral. Ia tidak mencerminkan ketidaktamadunan dan ia digunakan dengan cara yang tidak merosakkan nilai manusia atau menyalahi fitrah.
Masalah timbul apabila AI diguna untuk mencipta kandungan melanggar batas nilai dan etika, contohnya dengan memanipulasi gambar seseorang untuk tujuan memalukan atau menjatuhkan maruah. Tindakan seperti ini menyalahgunakan teknologi untuk tujuan jenayah atau penipuan yang bertentangan dengan nilai ketamadunan.
Negara masih tiada peraturan dan garis panduan penggunaan AI?
Setakat ini, tiada peraturan khusus mengawal selia penggunaan AI. Walaupun terdapat beberapa garis panduan am bagi memudahkan penggunaan teknologi secara umum, peraturan yang benar-benar khusus berkaitan AI masih belum digubal.
Masalah utama perlu diberi perhatian adalah akar kepada isu penggunaan iaitu pendidikan dan literasi teknologi. Sekiranya akar permasalahan ini tidak ditangani, segala peraturan atau penyelesaian sementara hanya bersifat permukaan.
DASAR PENDIDIKAN DIGITAL: DI MANA KESELAMATAN?
Sekarang apa yang kerajaan kena buat?
Dasar Pendidikan Digital perlu disusun semula kerana dasar yang ada dilihat cacat. Kecacatannya tentang aspek keselamatan dalam pendidikan digital. Satu komponen paling penting dalam penggunaan peranti digital adalah keselamatan, terutama keselamatan data. Tanpa perlindungan keselamatan kukuh, penggunaan teknologi sangat terdedah kepada ancaman.
Meneliti Dasar Pendidikan Digital sedia ada, aspek keselamatan tidak diberi penekanan sewajarnya. Ketempangan ini membimbangkan kerana tiada elemen khusus memperincikan aspek keselamatan dalam konteks pendidikan digital seperti perlindungan data peribadi, privasi pengguna atau kesedaran keselamatan siber.
Tanpa komponen keselamatan yang jelas dalam dasar pendidikan digital negara, pelajar dan guru terdedah kepada risiko yang boleh menjejaskan keberkesanan dan keselamatan penggunaan teknologi dalam pendidikan.
Dalam naratif Dasar Pendidikan Digital ini, ia lebih menggalakkan penggunaan teknologi, tetapi tidak mengajar pelajar cara menggunakan teknologi dengan benar. Ini lebih kepada retorik tanpa perincian jelas.
AI: FITNAH AKHIR ZAMAN
Benarkah AI membawa fitnah?
Ia sebenarnya meningkatkan produktiviti, tetapi ini bermakna fitnah berleluasa dalam media sosial akan terus meningkat. Kita harus lebih berhati-hati mengendalikan maklumat di dunia digital dan tidak menjadi penyebar fitnah, secara sengaja atau tidak sengaja.
Fitnah menjadi isu utama, contohnya manipulasi video atau suara, seperti video yang mengubah tindakan seseorang yang tidak pernah dilakukan secara realiti. Ini adalah contoh trolling atau gurauan bertujuan membuat orang ketawa, tetapi boleh menjadi bahan fitnah yang besar.
Apa solusinya?
Solusinya masih berfokus pada pendidikan. Perilaku menyebar fitnah adalah sikap tidak bertamadun dan penggubalan undang-undang sahaja tidak cukup menyelesaikan masalah ini. Walaupun undang-undang sedia ada sudah cukup banyak, kesedaran dan pemahaman tentang undang-undang masih kurang dalam kalangan masyarakat.
Malaysia sudah mempunyai pelbagai akta menangani isu digital, seperti Akta Komunikasi dan Multimedia (pindaan 2024), Akta Keselamatan Siber serta Akta Perlindungan Kanak-Kanak. Walaupun kerajaan banyak gubal akta, jenayah siber dan fitnah dunia maya masih berleluasa. Pada masa lalu, tiada orang menjual gambar orang lain tanpa izin, sekarang semakin berleluasa.
Walaupun akta-akta ini bertujuan mengurangkan atau membasmi jenayah, ia jelas belum cukup berkesan untuk mengekang peningkatan kadar jenayah siber, termasuk fitnah di ruang siber. Maka, usaha mendidik masyarakat adalah jalan utama untuk menyelesaikan masalah ini. – Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan