Pengarah jabatan bergelar Datuk, jurutera antara 6 individu diberkas kes rasuah


Pengarah jabatan bergelar Datuk, jurutera antara 6 individu diberkas kes rasuah

20 Mei 2025 06:23pm
Masa membaca: 2 minit

PUTRAJAYA – Enam individu termasuk pengarah bergelar Datuk serta jurutera jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin, dipercayai menerima rasuah melibatkan ratusan ribu ringgit berkaitan tawaran kerja kontrak pembangunan dan penyenggaraan sejak 2021.

Menurut sumber, suspek yang terlibat terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 5.30 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

"Dua suspek utama yang berjawatan pengarah serta jurutera di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara dipercayai telah meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor-kontraktor yang ditawarkan kerja kontrak pembangunan dan penyenggaraan di bawah seliaannya antara 2021 hingga kini.

"Turut ditahan ialah pasangan suami isteri bersama bapanya, seorang pemilik syarikat bergelar Datuk, dan seorang kontraktor kerana disyaki bertindak sebagai orang tengah dalam mendapatkan rasuah daripada kalangan kontraktor," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Suspek terlibat terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50an ditahan kira-kira jam 5.30 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek utama menerima kira-kira RM115,000 daripada orang tengah dalam bentuk wang tunai, pembiayaan ubah suai rumah, dan pemberian telefon bimbit.

Katanya, Op Kepala yang dijalankan pada Isnin oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM melibatkan 10 buah premis di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Dalam operasi sama, SPRM turut menyita dua unit kenderaan jenis Toyota Hilux, wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan yang terdiri daripada akaun individu dan akaun syarikat melibatkan jumlah kira-kira RM6 juta.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan lima suspek direman selama lima hari sehingga 24 Mei 2025, manakala seorang lagi direman selama tiga hari sehingga 22 Mei 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ulasan