
Penyewa PPR tak bayar sewa bertahun
20 Mei 2025 07:00am
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Sikap sambil lewa penyewa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa antara punca yang mendorong kepada peningkatan tunggakan bayaran melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam (PA) di ibu kota.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, hal ini berlaku kerana PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengenakan tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap penyewa, selain terdapat kelemahan dalam badan pengurusan bersama (JMB).
“Dua-dua pihak saya rasa bersikap sambil lewa, sama ada penyewa mahupun DBKL yang bertanggungjawab mengutip sewa,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, tunggakan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilaporkan telah mencecah RM70 juta.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, tunggakan tersebut memberi kesan terhadap penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan untuk masyarakat di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan itu.Menurut Lip Eng, DBKL perlu memperkasakan mekanisme sistem bayaran sewa PPR dan PA bagi memastikan isu tunggakan dapat diselesaikan segera.
Katanya, pengecualian pembayaran bagi golongan tertentu seperti kategori miskin tegar, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) juga perlu diperkemaskan supaya tidak ada pihak lain yang menyalahgunakan manfaat tersebut.
“Kalau mereka enggan, degil dan tidak bayar selama berpuluh-puluh tahun, tindakan tegas perlu diambil, termasuk memberi peluang rumah PPR atau PA kepada pemohon baharu,” ujarnya.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula berkata, isu itu telah berlarutan lebih 20 tahun dan menjadi masalah kepada pihak DBKL meskipun pelbagai langkah telah dilaksanakan.
“Ini berkaitan dengan sikap penyewa sendiri. Ada juga yang mempunyai tunggakan sehingga RM18,000 dan datang berjumpa saya untuk minta bantuan.
“Sekarang DBKL sudah makin tegas. Mereka akan pergi membuat tinjauan dari rumah ke rumah untuk menyemak siapa penghuni sebenar di kediaman tersebut,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan