
Perbalahan dalam berisiko hancurkan PKR 5-10 tahun akan datang - Nurul Izzah
Oleh Mohd Amin Jalil - Mei 20, 2025 @ 12:28am
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan pada majlis Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah Anwar di sebuah hotel, hari ini. - BERNAMA
SEREMBAN: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membayangkan sebarang perbalahan dalaman berisiko untuk membawa kepada kehancuran kepada parti itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Justeru, beliau menggesa semua ahli parti mengelak sebarang perbalahan, sebaliknya berusaha untuk merapatkan barisan sebaik pemilihan parti berakhir.
"PKR mungkin tidak mampu menangani cabaran yang mendatang jika wujud sebarang perbalahan kerana ia akan mengakibatkan kita hilang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
"Kritikan utama saya terhadap sistem pilihan raya ialah kita sentiasa bergaduh sesama sendiri. Kita perlu terus maju selepas pemilihan ini," katanya berucap dalam Rapat Umum Akar Umbi sempena Pemilihan PKR di Klana Resort, di sini, malam tadi.Nurul Izzah yang akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PKR sesi 2025-2028 berkata, semua pemimpin parti perlu membuat persiapan dari segala aspek dalam tempoh 24 bulan dari sekarang untuk pilihan raya umum akan datang.
Beliau menyasarkan PKR memenangi sekurang-kurangnya 50 kerusi pada pilihan raya akan datang.
"Dalam tempoh 24 bulan akan datang, kita perlu mengukuhkan usaha kita untuk memenangi kerusi marginal.
"Kita perlu memenangi sekurang-kurangnya 50 kerusi marginal," katanya.
Ketika ditemui selepas program itu, Nurul Izzah berkata, usaha memperkasa dan memantapkan kesatuan dalam parti itu penting bukan sahaja untuk memastikan kerajaan ketika ini stabil, tetapi berupaya untuk mendekati masyarakat keseluruhannya.
Justeru, beliau berkata, usaha mendekati akar umbi akan terus diberikan tumpuan kerana agenda itu penting sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Nak menang (pilihan raya), kita kena bersedia bermula hari ini. Anak muda perlu diberikan latihan sebagai pewaris kepemimpinan akan datang.
"Mesti ada pasukan yang mampu menggerakkan jentera kerajaan dan meyakinkan pengundi dengan berkomunikasi, supaya setiap usaha yang dibuat itu mampu memberi kesan positif," katanya yang berhasrat untuk memperkasakan lagi sekolah politik dalam parti itu.
Ditanya mengenai kempen pemilihan yang semakin hangat, beliau melahirkan keyakinan dengan sokongan rakan-rakan.
"Fokus saya adalah memperjuangkan kebersamaan... saya dan sahabat-sahabat akan cuba menggarap semua bakat-bakat yang ada," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan