Perluaskan pasaran produk Malaysia ke pelbagai negara



Perluaskan pasaran produk Malaysia ke pelbagai negara

Hadapi Tarif Amerika Syarikat terhadap eksport Malaysia
May 5, 2025

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran memperluaskan pasaran produk tempatan ke lebih banyak negara termasuk di Timur Tengah, benua Afrika serta negara-negara ahli Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) berkata, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada pasaran seperti negara-negara European Free Trade Association (EFTA) termasuk Norway, Switzerland dan Iceland bagi meningkatkan nilai eksport negara.

“Pada tahun 2024, nilai perdagangan Malaysia dengan negara-negara EFTA adalah RM14.4 bilion. Maka percepatan perjanjian perdagangan EFTA dengan negara-negara ini termasuk Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom dan Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu Tarif Amerika Syarikat terhadap eksport Malaysia diumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump baru-baru ini dalam ucapan pada Persidangan Khas Parlimen di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut menggesa agar pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura disegerakan memandangkan ia mempunyai potensi besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai pembangunan Zon Ekonomi Sempadan (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam, melibatkan kawasan seluas lebih 4,000 ekar tanah milik Kementerian Kewangan yang sedang dibangunkan dan GDB RM24 bilion.

Menurut beliau, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand kini berjumlah RM140 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada RM160 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Pihak kerajaan perlu mempertingkatkan bajet infrastruktur di SBEZ Bukit Kayu Hitam ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ku Abdul Rahman turut menekankan keperluan memperkukuh industri halal Malaysia dan mengembangkan eksport produk halal ke peringkat global.

“Kita perlu melipatgandakan kerjasama strategik dengan negara-negara ASEAN, CPTPP, benua Afrika serta Global South. Perdagangan serantau boleh mencecah nilai trilion jika dirancang dengan teliti,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

Ulasan