
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan perancangan jangka panjang ekonomi dalam menghadapi impak perang dagangan antarabangsa menerusi pendekatan komprehensif, ujar Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu).
Menurut beliau, Malaysia perlu kekal tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar dagangan dunia walaupun menjadi rakan dagangan utama kepada Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Satukan dimensi diversifikasi pasaran, pemerkasaan inovasi, pembangunan mampan serta tadbir urus yang tangkas dan berasaskan data,” katanya ketika membahaskan Tarif AS ke atas Malaysia pada Persidangan Khas Parlimen di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau berkata, setiap kesulitan pasti ada peluang boleh diraih, sambil menjelaskan industri sawit telah memainkan peranan penting dalam menyelamatkan dan menstabilkan ekonomi Malaysia semasa beberapa krisis kewangan termasuk Asia 1997-1998 dan krisis COVID-19.
“Industri sawit menjadi sumber penukaran wang asing yang konsisten. Minyak sawit merupakan antara eksport utama Malaysia menyumbang berbilion ringgit setiap tahun.
“Sewaktu krisis kewangan apabila nilai ringgit jatuh, pendapatan eksport dalam mata wang asing seperti USD meningkat nilainya dalam ringgit. Ini membantu menampung defisit akaun semasa dan mengukuhkan kedudukan rizab negara.
“Industri sawit menyumbang kepada tiga juta pekerjaan secara langsung dan tidak langsung. Semasa krisis, ia menjadi sektor penampan bagi tenaga kerja yang terjejas dalam industri lain seperti pembuatan dan pelancongan.
“Kebanyakan ladang sawit terletak di kawasan luar bandar. Pendapatan berterusan dari sektor ini menyokong kestabilan ekonomi tempatan dan penggunaan domestik. FELDA, RISDA dan MPOB memainkan peranan besar dalam memastikan pekebun kecil terus menerima sokongan dan pendapatan.
“Keempat, permintaan global yang kukuh. Permintaan global terhadap minyak sawit untuk makanan, biofuel dan produk penjagaan diri kekal tinggi walaupun dalam krisis. Ini menjadikan industri sawit antara sektor yang crisis-resolute, tidak mudah terjejas.
“Kelima, semasa kejatuhan harga minyak mentah atau sektor elektronik, sawit menjadi penyumbang alternatif yang mengurangkan kebergantungan kepada satu sektor sahaja,” katanya.
Menurutnya, dalam senario di mana negara lain seperti China turut dikenakan tarif tinggi oleh Amerika, Malaysia mungkin berpeluang mengisi kekosongan dalam pasaran tertentu sebagai sumber alternatif kepada eksport dan import.
“Pada tahun 2024 sahaja, Amerika mengimport sekitar 1.8 juta metrik tan minyak sawit di mana majoritinya dari Indonesia,” katanya.
Sementara itu Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mencelah dengan menyatakan bahawa Tangga Batu boleh dianggap pakar dalam industri kelapa sawit kerana pernah terlibat dalam perniagaan tersebut dan memiliki pengalaman berunding dengan negara pembeli.
Saifuddin bertanya mengenai kemungkinan Malaysia dibuli dalam rundingan perdagangan dua hala oleh Amerika yang memiliki maklumat menyeluruh mengenai semua rundingan, lantas mencadangkan pendekatan rundingan secara berkelompok bersama ASEAN.
Bakri dalam jawapannya berkata, bersetuju dengan perkara yang dinyatakan oleh Saifuddin itu untuk dijadikan sebahagian daripada ucapannya.
“Pada tahun 2024 sahaja, US mengimport sebanyak 1.8 juta metrik tan minyak sawit di mana majoritinya dari Indonesia. Eksport produk sawit Malaysia ke Amerika pada tahun 2024 berjumlah 198,000 metrik tan atau 10 peratus dari jumlah import minyak sawit Amerika dan 1.1 peratus dari jumlah eksport minyak sawit Malaysia.
“Ketegangan ‘trade dispute’ antara US dan China berkemungkinan China akan merubah ‘trade flow within the vegetable oil complex’. Pendekatan menaikkan import ‘soya bean’ kepada 25 peratus oleh China terhadap ‘soya bean’ Amerika menyebabkan import ‘soya bean’ US ke China menurun sebanyak 57 peratus atau 8.6 juta metrik tan data 2018 dan import soya bean dari Brazil ke China meningkat sebanyak 41 peratus atau 21.8 juta metrik tan.
“Kesan dari ini jumlah import minyak sawit kepada China meningkat sebanyak lima peratus ataupun 5.3 juta metrik tan. China pastinya akan mencari alternatif baru menggantikan import soya dari Amerika dan meningkatkan permintaan minyak sawit atau ‘vegetable fat’ bersumberkan minyak sawit.
“Oleh itu Tangga Batu melihat ini adalah peluang terbaik bagi Malaysia memperluaskan dan mempertingkatkan pasaran minyak sawit Malaysia terutama negara China dan negara lain-lain. Apa yang perlu dilakukan di samping mengadakan rundingan perdagangan dua hala, jumlah pengeluaran produk sawit Malaysia juga perlu ditingkatkan.
“Tangga Batu telah menyentuh isu hasil sawit per hektar stagnated sejak beberapa tahun yang lalu sekitar 16 hingga 17 tan sehektar sejak kebelakangan ini. Perlu intervensi dari kerajaan secara serius.
“Sudah berulang kali dibangkitkan jumlah pokok tua yang semakin meningkat dan program penanaman semula yang sangat perlahan sudah pasti akan menyebabkan hasil sawit berkurangan dan menjejaskan peluang Malaysia untuk meraih nilai eksport yang lebih tinggi.
“Meningkatkan aktiviti hiliran seperti ‘oleochemical’ dan produk kesihatan, meningkatkan peruntukan R&D bagi mempercepatkan proses mekanisasi dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan memperbanyakkan penyertaan rakyat tempatan dalam industri perladangan.
“Ini ada kaitannya dengan mempertingkatkan ‘domestic consumption’ sebagai strategi dalam menghadapi global ‘economic slow down’.
“EU Regulation, Tangga Batu merakamkan ucapan tahniah kepada MPOC dan MPOB yang berjaya meningkatkan jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke EU dari 48,539 metrik tan pada tahun 2023 kepada 96,903 metrik tan pada tahun 2024.
“Namun jumlah ini masih kecil berbanding dengan jumlah pengeluaran minyak sawit Malaysia yang berjumlah sekitar 18 juta tan setahun. Oleh itu Tangga Batu menyeru agar gap yang ada di antara MSPO dan UDR perlu diselaraskan segera agar minyak sawit Malaysia dapat memasuki pasaran Eropah dengan lebih besar lagi,” katanya.
Beliau turut menambah, dalam konteks petani dan nelayan, apabila harga barangan dan lain-lain yang datang dari Taiwan dan China yang masuk ke Malaysia akan jadi lebih murah, maka kesempatan ini mestilah digunakan sebaik mungkin.
“Kita harus mengoptimumkan penggunaan teknologi dari AI bagi memacu peningkatan produktiviti hasil pertanian dan nelayan serta memperbaiki masalah ‘food security’ kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan