

Berita
PN adalah kerajaan menanti, kata MIPP
Diterbitkan: May 4, 2025 10:46 PMPresiden MIPP P Punithan yakin peluang PN untuk menang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
"PN adalah kerajaan menanti atau ‘government in waiting’ pada PRU16 pada 2027 atau mungkin lebih awal... Namun kita tidak boleh menunggu sehingga saat akhir.
"Kita percaya dan yakin akan mengambil alih kerajaan pada PRU16 nanti," katanya ketika berucap di hadapan sekitar 1,000 hadirin pada Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam hari ini.
Pada majlis itu juga, PN melancarkan visi Reset 2027, sebagai usaha menarik sokongan masyarakat India terhadap gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada 2027.
Pelancaran tersebut disempurnakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin semasa Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam — program anjuran Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Bercakap kepada Malaysiakini, Presiden MIPP P Punithan berkata Reset 2027 dibentangkan sebagai dasar alternatif kepada kerajaan persekutuan sedia ada.
"Ketika kita berada di persimpangan kritikal ini dalam sejarah negara kita, jelas sekali landskap politik sedang berubah.
"Hari ini, Malaysia berada di tengah-tengah transformasi. Kami kini berdepan sistem dua parti (Pakatan): Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
"Sejak dua dekad yang lalu, masyarakat India telah telah dianggap sebagai bank undi tetapi tanpa keperluan untuk membayar balik oleh pemimpin politik, dan sokongan masyarakat adalah kritikal dalam menyingkirkan Barisan Nasional daripada kuasa dan membawa perubahan.
"Gabungan PH dan kini kerajaan Madani telah gagal untuk menegakkan janji yang mereka buat kepada masyarakat yang mana 85 peratus kaum India mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya lalu. Walau bagaimanapun, kerajaan sekarang di bawah PH telah meninggalkan banyak perkara dikehendaki.
"Saya percaya dengan melancarkan Reset 2027, PN boleh menjadi alternatif lebih baik kepada pengundi India pada PRU akan datang," katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan Punithan berkata Reset 2027 satu wawasan menyeluruh untuk merombak dan memperbaharui dasar serta pendekatan dalam membangunkan masyarakat India di Malaysia secara holistik.
Inisiatif MIPP ini kata Punithan berteraskan semangat penetapan semula (reset) ke arah keadilan, penyertaan dan kemajuan yang saksama dalam tiga teras utama: pendidikan, pembangunan sosial dan transformasi ekonomi.
"Agenda ini akan menjadi pegangan utama MIPP untuk merangka satu dasar hala tuju besar untuk kaum India demi menjamin masa depan yang cerah, terjamin dan sejahtera bersama PN.
"Kita akan menggerakkan jentera parti untuk mendekati masyarakat India bagi mendapatkan maklum balas secara terperinci supaya agenda Reset 2027 ini bukan agenda syok sendiri parti," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan