Rafizi perlu terangkan trek rekod kita, bukan pasal 'disekat' - Saifuddin


Rafizi perlu terangkan trek rekod kita, bukan pasal 'disekat' - Saifuddin
Oleh Yun Mikail - Mei 18, 2025 @ 1:42pm
PAPAR: Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak memikirkan perihal perkara lain, sebaliknya memberi fokus kepada kempen pemilihan PKR 2025.

"Saya fikir kita selesaikan dahulu kempen mengikut peraturan. Terangkan mengenai trek rekod kita dan visi menguatkan parti.

"Jangan fikir sama ada kita akan disekat dan sebagainya. Rafizi sahabat karib saya dan hampir setiap hari kami bercakap melalui telefon. Jadi, sekalipun sahabat karib, sudah menjadi kewajipan saya untuk menyampaikan pesan bahawa fokus kepada kempen kerana pemilihan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, " katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Batalion 21 Pasukan Gerakan Am (PGA) Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Pada Sabtu lalu, Rafizi ketika berucap sempena program Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kuching, membayangkan dirinya mungkin akan kembali tidak dibenarkan masuk ke Sarawak jika tiada lagi berjawatan dalam kerajaan dan parti termasuk sebagai Timbalan Presiden PKR kelak.

Rafizi memaklumkan, sebelum dilantik menteri dalam Kerajaan Perpaduan, beliau sudah biasa dilarang memasuki Sarawak.

Susulan itu, beliau berkata, tidak mustahil larangan berkenaan akan dilaksanakan semula jika beliau tidak lagi memegang jawatan dalam parti dan Kabinet.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau yakin Sarawak hari ini adalah rakan strategik penting dalam menyumbang kepada kestabilan politik dalam negara.

"Seperti saya sebut tadi, antara kayu ukur Global Peace Index yang memberi wajaran besar adalah kestabilan politik.

"Jadi Sarawak adalah negeri yang mesra. Saya fikir tidak perlu kita beri kenyataan atau tindakan awal sebelum sesuatu perkara itu berlaku," katanya.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) dan Datuk Seri Rafizi Ramli. - Foto NSTP

Ulasan