Rasuah percepat permohonan warganegara: SPRM akan panggil ramai lagi individu

Rasuah percepat permohonan warganegara: SPRM akan panggil ramai lagi individu

10 Mei 2025 10:40am
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan permohonan taraf warganegara yang didakwa dipercepatkan secara tidak sah.

Ia susulan penahanan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seorang orang awam di Putrajaya pada Rabu lalu.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa siasatan terhadap kes ini masih dijalankan.

“SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi pihak yang akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Menurut sumber, tiga individu yang ditahan terdiri daripada dua lelaki, termasuk seorang bergelar Datuk, serta seorang wanita, masing-masing berusia dalam lingkungan 50 hingga 65 tahun.

“Mereka telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil. Bagaimanapun, mereka mungkin akan dipanggil semula sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan,” katanya.

Operasi terbabit merupakan lanjutan daripada Op Outlander yang baru-baru ini dijalankan oleh SPRM.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan bahawa beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan KDN telah ditahan oleh SPRM.

Pada 16 Mac lalu, SPRM menerusi Op Outlander telah membekukan 11 akaun bank melibatkan jumlah keseluruhan RM100,000, berkaitan siasatan kes rasuah pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara, serta penggunaan dokumen sokongan palsu dalam proses pendaftaran kelahiran.

Op Outlander turut mengesan penglibatan beberapa doktor dalam penyediaan dokumen penyambut kelahiran secara tidak sah.

Ulasan