
Sejarah: YB PAS pertama di dalam Parlimen
May 3, 2025
TUAN Guru Ahmad Tuan Hussien Kedah al-Banjari atau nama sebenarnya Nikmatullah Ahmad merupakan wakil rakyat PAS yang pertama (27 Julai 1955) mewakili kawasan Krian, Perak.
Allahyarham dilahirkan di kampung bernama Bohol, mukim Titi Gajah, daerah Alor Setar, Kedah pada tahun 1906. Ayahnya merupakan seorang ulama’ besar negeri Kedah suatu ketika dahulu bergelar Tuan Hussien Kedah. Tuan Guru Ahmad merupakan generasi ke 7 keturunan Mujaddid Nisbi Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Beliau mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri sehingga berusia 6 tahun. Seterusnya beliau memasuki Sekolah Melayu Chowrasta, Pulau Pinang selama 4 tahun. Habis belajar di sana, beliau pulang ke Bagan Ulu dan menuntut ilmu semula dengan ayahnya sebelum berangkat ke Mekah pada 1923.
Di antara guru-gurunya ialah:
1. Tuan Hussien Kedah.
2. Syeikh Umar Hamdan.
3. Syeikh Umar Bajunaid.
4. Sayyid Amin Latif.
5. Syeikh Ahmad Arabi.
6. Syeikh Ammad Sembawa.
7. Syeikh Ibrahim al-Fathani.
8. Syeikh Ibrahim Jibri.
9. Syeikh Ahwidth.
Beliau pulang ke tanah air pada tahun 1927 dan menerajui Madrasah al-Khairiah al-Islamiah yang diasaskan oleh ayahnya di Kampung Pokok Sena, Kepala Batas.
Allahyarham adalah pelopor dan pengasas Parti Islam Se-Malaysia PAS bagi negeri Pulau Pinang. Beliau sangat aktif di dalam PAS dan turut diberi kepercayaan sebagai pimpinan di dalam beberapa institusi Islam. Di antara jawatan yang beliau pernah sandang ialah:
1. Ahli Majlis Mesyuarat Penasihat Islam Negeri Pulau Pinang – 1950 hingga bubar.
2. Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang – 1969.
3. Qadhi Besar Negeri Pulau Pinang – 1965 hingga 1974.
4. Ahli Majlis Penasihat Raja-raja Melayu Malaya – 1966.
5. Bendahari Agung PAS Pusat – 1951.
6. Ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS – 1954.
7. Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – 1956 hingga 1958.
Pilihan raya pertama negara pada tahun 1955 mempertandingkan 52 buah kerusi, 51 daripadanya telah dimenangi sepenuhnya oleh Parti Perikatan. Satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS yakni diwakilkan oleh Tuan Guru Ahmad Tuan Hussien. Beliau menewaskan calon Perikatan, Sulaiman Palestin dan calon Parti Kebangsaan Perak (NAP), Mohd Jan Ngah Mohamad dengan majoriti 450 undi.
Calon Perikatan pada ketika itu, Sulaiman Palestin ketika berkempen dalam pilihan raya ini menyindir calon PAS bahawa Majlis Undangan Persekutuan bukan tempat ulamak ‘membaca doa nasi kunyit’ atau mengajar hadis, dan calon PAS tidak tahu berbahasa Inggeris. Akhirnya, pada 27 Julai 1955, Sulaiman Palestin telah tewas dan Tuan Guru Ahmad selaku pembangkang tunggal di Majlis Undangan Persekutuan. Secara tidak langsung, beliau merupakan ketua pembangkang yang pertama di dalam sejarah Parlimen Malaysia.
MasyaAllah, seorang ulama, tok guru pondok berada di dalam Parlimen berseorangan sebagai pembangkang sehingga diberi julukan ‘Encik Pembangkang’, satu kejayaan yang sangat besar bagi mereka yang memperjuangkan hukum Allah Taala.
Tuan Guru Ahmad meninggal dunia pada tahun 1977 sewaktu berusia 71 tahun. Jenazahnya disemadikan di Masjid Kampung Pokok Sena, Kelapa Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang.
TENGKU YUSUFF – HARAKAHDAILY 3/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan