
Sidang Khas Parlimen hari ini bincang isu tarif AS
Oleh FITRI NIZAM
5 Mei 2025, 6:50 am
PETALING JAYA: Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini akan memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk membahaskan isu tarif timbal balik sebanyak 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan import dari Malaysia.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sekurang-kurangnya 20 wakil daripada kerajaan dan pembangkang dibenarkan berbahas dengan masa diberikan sekitar enam ke lapan minit setiap seorang.
Katanya, sidang khas dimulakan pukul 11 pagi dengan pembentangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tarif tersebut.
“Pembentangan Perdana Menteri turut merangkumi respon negara terhadap tarif yang dikenakan, tindakan susulan kerajaan dan perkembangan rundingan antara Malaysia dan AS yang sedang dilaksanakan.
“Pada sesi petang, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dijangka menjawab semua persoalan oleh ahli Parlimen dan masing-masing membuat penggulungan sebelum sidang khas berakhir,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelaksanaan tarif timbal balik kepada 180 negara terhadap barangan eksport termasuk Malaysia.
Bagaimanapun, seminggu kemudian, AS mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik individu kepada kebanyakan negara namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.
Keputusan ini dibuat untuk memudahkan rundingan dengan lebih 75 negara yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tarif mengejut itu.
Ekoran itu. pada 22 April lalu, Perdana Menteri memberitahu akan mengadakan sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini bagi membincangkan tarif yang dikenakan AS terhadap kebanyakan rakan dagang antarabangsa termasuk Malaysia.
Mengulas lanjut, Johari berkata, sidang khas itu hanya akan membahaskan isu tarif timbal balik yang dikenakan AS terhadap barangan import dari Malaysia supaya sidang tersebut berjalan lancar.
Katanya, tiada isu lain yang akan dibincangkan selain soal tarif tersebut.
“Rakyat mahu tahu isu ini, mereka mahu tahu apa tindakan kerajaan terhadap tarif timbal balik itu dan apa cadangan Ahli Parlimen daripada setiap parti,” katanya.
Menurut Johari, beliau akan mengumumkan nama-nama ahli Parlimen yang berbahas pada sidang khas hari ini. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan