
SPRM perlu elak persepsi hukum sebelum bicara
May 11, 2025
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan agar tidak melangkaui bidang tugasan sebagai badan penyiasat di negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia susulan terdapat banyak kes siasatan yang sedang berlangsung memperlihatkan individu terlibat seolah-olah telah dijatuhi hukuman.
“(Seperti contoh) dipamerkan duit dia banyak mana. Jadi media dan orang ramai terus ‘attack’ (serang), sedangkan dia belum didakwa pun, baru di peringkat pertuduhan.
“Jadi saya fikir badan penyiasat kena lihat mereka punya sempadan (bidang kuasa), jangan sampai mereka masuk ke badan kehakiman. Sebab kuasa untuk meletakkan orang itu bersalah atau tidak ialah mahkamah.
“Oleh kerana itu saya fikir perkara seperti ini sepatutnya apabila kita dapat hasil siasatan, kita hantar ke Peguam Negara. Peguam Negara akan tentukan nak teruskan dakwaan, ada kes ataupun tiada.
“Bukan kita di peringkat awal terus ‘viral’ seolah-olah orang itu terus bersalah. Sebab dalam keadaan media terbuka sekarang ini, fitnah dan gambaran itu sangat teruk dialami oleh individu tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengumumkan pelancaran Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero (GTZ2030) bagi menangani isu HIV/AIDS di Malaysia secara lebih sistematik dan menyeluruh, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam pada itu tidak menjangkakan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali ketiga, baru-baru ini.
“Saya jangka perkhidmatan beliau (Azam) tidak disambung, sebab dah beberapa kali disambung dan ini kali ketiganya. Sudah tentu apabila kita lihat perkhidmatan seseorang disambung sampai kali ketiga, (pasti) ada rasa pelik dan inilah yang ramai orang komen,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan