SPRM serbu pejabat PeterLabs susulan siasatan salah laku babitkan pengarah eksekutif

SPRM serbu pejabat PeterLabs susulan siasatan salah laku babitkan pengarah eksekutif
Oleh BERNAMA - Mei 19, 2025 @ 9:55pm

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat PeterLabs Holdings Bhd dan anak syarikatnya, Thye On Tong Trading Sdn Bhd (TOT) susulan dakwaan salah laku membabitkan seorang pengarah eksekutif syarikat itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat yang terbabit dalam produk kesihatan dan pemakanan haiwan itu memaklumkan bahawa pegawai SPRM merampas beberapa dokumen dan fail yang dipercayai berkaitan dengan siasatan ke atas Pengarah Eksekutif PeterLabs Datuk Loh Saw Foong.

Loh turut memegang jawatan sebagai Pengurus Besar TOT, sebuah syarikat pengedar barangan pengguna cepat laris (FMCG).

Pada 9 Mei lalu, PeterLabs membuat laporan rasmi kepada SPRM terhadap Loh atas dakwaan salah laku, konflik kepentingan serta pelanggaran tanggungjawab fidusiari.

Syarikat itu turut berkata Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material, selaras dengan Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia Securities Bhd dan obligasi perundangan yang berkaitan.

Ulasan