SURAT | Menjawab Rafizi: Masa memperbetul, bukan meruntuhkan


Surat
SURAT | Menjawab Rafizi: Masa memperbetul, bukan meruntuhkan
Diterbitkan: May 19, 2025 9:00 PM

Saya menyatakan pendirian tegas menentang Rafizi Ramli – bukan atas dasar peribadi, tetapi demi menyelamatkan idealisme dan perpaduan parti yang kini diuji oleh tindakan tidak bertanggungjawab dari dalam.

Sejak awal kempen Hiruk, Rafizi memperlihatkan corak politik yang bukan sahaja menyerang budaya dalam parti, malah menjurus kepada cubaan melemahkan kepimpinan Presiden Anwar Ibrahim, secara terbuka dan sistematik. Tindak-tanduk beliau tidak mencerminkan nilai seorang timbalan presiden yang seharusnya menjadi penguat parti, bukan perosak semangat solidariti.

Budaya 'pak turut' atau strategi konsensus?

Rafizi mendakwa parti dipenuhi dengan 'pak turut'. Saya ingin menegaskan: apa yang beliau anggap sebagai 'pak turut' adalah sebenarnya semangat musyawarah dan disiplin organisasi yang menjadi tunjang PKR sejak penubuhan. Menghormati keputusan majoriti bukan bermaksud tunduk membuta tuli — ia adalah asas kepada amalan demokrasi.

Idealisme parti dan anak muda

Parti ini tidak pernah lari daripada idealisme reformasi. Yang bermasalah bukan idealisme kita, tetapi pendekatan Rafizi yang semakin menjauhkan anak muda dari proses politik sihat. Mempertikaikan segalanya secara terbuka tanpa penyelesaian yang membina tidak menjadikan beliau pejuang, tetapi pencetus keresahan dalaman.

Persepsi rasuah dan kerajaan

Benar, rakyat mahu kerajaan lebih tegas menangani rasuah. Namun, menyerang parti sendiri dengan memberi gambaran seolah-olah PKR bersubahat, adalah pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat. Sebagai anggota kerajaan, beliau seharusnya memperkukuh usaha pembaikan institusi – bukan menambah persepsi negatif demi modal politik peribadi.

Isu Sabah dan kongres

Keengganan Rafizi untuk merasmikan kongres parti serta kritikannya terhadap pelancaran jentera pilihan raya Sabah adalah tanda protes yang tidak profesional. Jika benar beliau tidak bersetuju, salurkan melalui saluran dalaman – bukan dengan membuat 'drama politik' yang melemahkan moral jentera parti di peringkat akar umbi.


Surat sulit dan salahkan pejabat presiden

Tindakan Rafizi seakan-akan menuduh pejabat presiden membocorkan surat sulit hanyalah usaha 'reverse psikologi' untuk mengalih perhatian dari tindakan beliau sendiri yang mencetuskan ketegangan. Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menjadikan institusi presiden sebagai kambing hitam.

Nurul Izzah dan ujian Kepimpinan

Paling mengecewakan ialah cubaan beliau untuk meletakkan kekalahan Nurul Izzah kelak sebagai penolakan terhadap Presiden sendiri. Ini adalah permainan persepsi yang berniat jahat dan memecahbelahkan parti. PKR bukan parti keluarga, tetapi parti rakyat – dan keputusan perwakilan adalah suara kolektif, bukan referendum terhadap sesiapa.

MPP bukan alat tapi penentu

Saya menyeru semua perwakilan untuk membuka mata dan menilai dengan waras. Pemilihan ini bukan sekadar menentukan siapa menang, tetapi menentukan siapa yang masih setia kepada semangat asal PKR.

Saya berdiri bukan menentang individu, tetapi menentang politik perpecahan yang sedang cuba ditanam dalam tubuh parti oleh mereka yang rakus kuasa tetapi lemah dalam muhasabah.

Saya calon MPP 2025–28. Saya pilih keberanian untuk berkata benar. Rafizi Ramli perlu ditentang secara terang-terangan.

AMIR HUSSIEN ialah calon Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Ulasan