Tegah homoseksual bukan hasutan kebencian


Tegah homoseksual bukan hasutan kebencian
May 9, 2025

KUALA TERENGGANU: Pemasangan papan tanda larangan perlakuan homoseksual oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan pelaksanaan tanggungjawab agama.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, ia bukan tindakan menyemai kebencian terhadap mana-mana pihak.

Beliau berkata, pendekatan tersebut adalah selaras dengan konsep amar makruf nahi mungkar yang menjadi asas kepada pentadbiran Islam.

“Saya merujuk kepada laporan media berhubung bantahan pihak tertentu terhadap kewujudan papan tanda larangan MBKT di laluan utama berhampiran kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Pihak kerajaan negeri, melalui Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, menyokong penuh inisiatif itu sebagai sebahagian daripada pendekatan amar makruf nahi mungkar.

“Ia merupakan tuntutan agama Islam,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, aktivis transgender, Nisha Ayub, mengecam kewujudan papan tanda tersebut sekali gus menyifatkannya sebagai satu bentuk hasutan kebencian yang berbahaya dan contoh jelas diskriminasi institusi.

Nisha berkata papan tanda seperti itu bukan sahaja menyemai kebencian terhadap golongan minoriti, malah secara tidak langsung menggalakkan perbuatan buli yang boleh membawa kepada keganasan.

Menurut Khalil, larangan terhadap hubungan sejenis bukanlah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya satu peringatan berasaskan prinsip syariah yang menjadi teras pentadbiran negeri Terengganu sejak sekian lama.

“Ia adalah usaha mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Quran dan Sunnah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2025

Ulasan