
Tindakan Tengku Zafrul keluar Umno tidak mengejutkan
May 31, 2025
KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar daripada Umno dan menyertai PKR bukanlah satu kejutan besar.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pengumuman itu sebaliknya sudah dijangka susulan beberapa ramalan dan desas-desus yang tular sebelum ini.
“Ditambah lagi, apabila dua kekosongan kerusi Menteri yang bakal ditinggalkan oleh (Dato’ Seri) Rafizi Ramli dan Nik Nazmi memberikan ruang yang lebih luas kepada Tengku Zafrul untuk mengisi kekosongan tersebut, khususnya Menteri Ekonomi.
“Sebagai MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan Ketua Bahagian Umno, ‘pengorbanan’ yang dibuat oleh Tengku Zafrul sudah semestinya sesuatu yang perlu digantikan dengan kedudukan yang lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang dalam itu menegaskan PKR kini seolah-olah mudah menerima ahli dari parti komponen kerajaan, berbeza dengan apa yang dilakukan PAN.
“Jika sebelum ini, Setiausaha Agung PAN membuat kenyataan pemecatan terhadap ahli-ahli PAN yang menyertai pemilihan parti lain, khususnya pemilihan PKR.
“Maka sekarang ini PKR menerima pula seorang pimpinan kanan Umno ke dalam parti mereka. Umno sudah hilang taringnya,” kata Khairul Faizi.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MKT, Ketua Umno Bahagian Kota Raja dan ahli Umno menerusi surat yang dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat setelah melalui proses muhasabah diri yang panjang, dengan mengambil kira faktor keserasian dan kesesuaian dalam landskap politik semasa. – HARAKAHDAILY 31/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan