Tradisi debat kekuatan PKR tapi terpulang pada calon - Rafizi


Berita
Tradisi debat kekuatan PKR tapi terpulang pada calon - Rafizi

Diterbitkan: May 19, 2025 2:41 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Walaupun debat sudah lama menjadi budaya PKR, calon memutuskan sendiri sama ada mereka mahu mengambil bahagian atau tidak, kata penyandang timbalan presidennya Rafizi Ramli.

Rafizi berkata pemilihan PKR lepas menyaksikan bukan sahaja calon timbalan presiden, tetapi juga calon untuk jawatan ketua pemuda, terlibat dalam debat.

"Kerana itu memang kekuatan PKR yang ada sekarang. Keputusan calon masing-masing (untuk berdebat atau tidak) terpulang pada calon masing-masing dan akan diambil kira oleh perwakilan dalam pengundian," kata menteri ekonomi itu kepada pemberita selepas majlis bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi menjawab soalan mengenai pencabarnya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang menolak pelawaannya untuk berdebat sebagai sebahagian daripada kempen pemilihan parti hujung minggu ini.

Ditanya sama ada dia percaya perdebatan itu perlu diteruskan, Rafizi menegaskan bahawa ia terpulang kepada Nurul Izzah.

"Perlu tu maknanya apa? Nak paksa dia? Tak boleh. Dalam kempen, setiap parti atau calon ada penawaran pada pengundi. Penawaran daripada saya adalah kita mesti mempertahankan budaya yang mana masing-masing calon menyampaikan idea dan visi dan kita terbuka untuk dinilai oleh perwakilan.

"Perkara itu tidak dipersetujui oleh Nurul Izzah. Akhirnya terpulang pada perwakilan untuk membuat keputusan," katanya.

Sebelum ini, Nurul Izzah menolah pelawaan debat itu, sebaliknya menyatakan fokusnya kekal untuk meredakan ketegangan dan melibatkan diri dengan perwakilan melalui pelbagai program lain.

Ulasan