
Tujuh kes berprofil tinggi minggu ini
19 Mei 2025 04:05pm
Masa membaca: 5 minit
KUALA LUMPUR - Beberapa kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam dijadualkan di Mahkamah Kuala Lumpur, Sepang dan Rayuan di Putrajaya, sepanjang minggu ini.
Paling menarik perhatian ialah prosiding menghina mahkamah yang difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada prosiding lalu, kes dimulakan dengan penyiaran dua video sidang media di dua portal berita.
Selepas ditayangkan, Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, menetapkan Khamis ini untuk kedua-dua pihak memaklumkan tindakan susulan.
Menurutnya, prosiding komital yang difailkan merupakan dakwaan yang serius, maka jalan yang terbaik ialah mahkamah memberi masa untuk Dr Mahathir, selaku plaintif, mendapatkan arahan lanjut daripada peguamnya.
Beliau berkata, ia juga demi keadilan pihak-pihak, prosiding akan bersambung bulan hadapan.
Selain itu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya telah menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, bagi menyemak keputusan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Tarikh itu dijadualkan semasa sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Nadia Azman, pada April lalu.
Bung Moktar, 67, dan Zizie Izette, 48, mengemukakan permohonan itu pada Mac lepas di bawah Peraturan 105, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, atas alasan bahawa panel Mahkamah Rayuan sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pendakwaan dan mahu panel semakan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pendakwah selebriti Azman Syah Alias (tengah) atau lebih dikenali sebagai PU Azman.
Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Klang, pendakwah selebriti, PU Azman, bernasib baik apabila dikenakan hukuman penjara 12 tahun berbanding 24 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen sama atas dua kes amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, tiga tahun lalu.
PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, dikenakan hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan rayuannya supaya semua hukuman itu berjalan serentak bermula 27 September 2024.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua sebatan terhadap Azman, 44.
Pada 27 September 2024, Azman, yang juga pelakon, dikenakan hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual itu.
Bagi kes pertama, tertuduh dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan bermula dari tarikh jatuh hukum, manakala bagi pertuduhan kedua, 12 tahun penjara dan satu sebatan selepas selesai menjalani hukuman pertama.
Berdasarkan dua pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berkenaan di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi, pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain kes ini, Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man, dihukum penjara enam tahun dan satu sebatan selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas satu kes lain, terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, lapan tahun lalu.
Dia juga dijatuhi hukuman penjara selepas Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan atas kes seksual lain.
Lain pula ceritanya di Mahkamah Sesyen Sepang pada Isnin, apabila usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, mendedahkan penghasilan video klip lagu ‘Kelepok Raya’ terinspirasi daripada video muzik penyanyi Hael Husaini dan Elizabeth Tan.
Semasa prosiding bela diri atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video raya itu tiga tahun lepas, Aliff Syukri, 38, berkata, penari dalam muzik video itu merupakan jurutari profesional yang diupah untuk menjayakan rakaman terbabit.
Selepas mendengar kenyataan penyanyi kontroversi itu, mahkamah menetapkan Khamis ini untuk pemeriksaan balas oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sebelum ini, klip video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap warganet mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.
Di mahkamah sama, pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari, 39, yang dituduh cuba membunuh bekas isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membuat permohonan rundingan pengakuan bersalah.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan Isnin untuk perbicaraan, namun pihak pendakwaan dimaklumkan oleh peguam tertuduh untuk memasukkan tawaran pengakuan bersalah.
Justeru, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan tawaran yang dimohon tertuduh.
Selepas mendengar permohonan itu, Hakim, Ahmad Fuad Othman menetapkan 17 Julai bagi status permohonan berkenaan.
Kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella turut menarik perhatian di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin.

Siti Bainun Ahd Razali
Ia selepas pembelaan yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali memberitahu bahawa, Pengasas Rumah Bonda itu telah memasukkan notis usul pada 7 Mei lalu, berkaitan laporan polis yang dibuat ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Bagaimanapun, peguam, Haijan Omar, yang mewakili Siti Bainun, 33, enggan mengulas lanjut mengenai kaitan antara kes mengabaikan Bella dengan kes Zayn Rayyan.
Semasa sidang akhbar, beliau menjelaskan, prosiding rayuan itu ditangguhkan ke Julai depan selepas pihaknya memohon untuk memasukkan notis usul berkenaan sebagai keterangan baharu atau tambahan.
Menurutnya, pihak pendakwaan, selaku responden, juga memohon lanjutan masa untuk membalas permohonan perayu.
Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, Hakim, Datuk Azman Abdullah, yang bersidang bersama Datuk Azmi Ariffin dan Hakim, Datuk Dr Choo Kah Sing, menetapkan pengurusan kes pada 3 Jun.
Di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, membenarkan permohonan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan waran tangkap terhadapnya.
Waran tangkap itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 2 Disember tahun lalu atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas wanita berkenaan gagal hadir ke ibu pejabat agensi tersebut.
Mahkamah turut membenarkan Pamela yang sebelum ini menetap di Singapura, memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa SPRM tidak mempunyai kuasa, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk menghalang seseorang daripada meninggalkan Malaysia.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Jun depan untuk pengurusan kes lanjut.
Ulasan
Catat Ulasan