

Berita
‘Usaha Sarawak ambil alih kawalan minyak dan gas akan rugikan negara’
Diterbitkan: May 9, 2025 12:19 PM
Dikemaskini: 12:19 PM
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi peringatan berhubung usaha Sarawak untuk mengambil alih kawalan ke atas sumber minyak dan gas di negeri itu daripada Petronas.
Dalam satu wawancara bersama Free Malaysia Today, Mahathir berkata langkah Sarawak itu boleh memberi kesan negatif kepada negara dan ekonominya.
“Negara akan rugi jika rundingan antara kerajaan persekutuan dan negeri diteruskan seperti sekarang,” katanya.
Dia mengulas pertikaian antara Sarawak dan kerajaan persekutuan berkenaan kawalan sumber minyak dan gas dalam wilayah negeri tersebut.
Sarawak mencabar Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang memberikan kawalan penuh kepada Petronas ke atas sumber hidrokarbon negara.
Kerajaan Sarawak berkata PDA tidak terpakai dalam wilayah pentadbirannya, sebaliknya bertegas mahu menggunakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958, yang memberikan kuasa ke atas minyak dan gas yang ditemui dalam lingkungan 200 batu nautika dari pantainya.

Sarawak mendakwa ia memiliki 60.87 peratus daripada rizab petroleum terbukti (proven reserves) dan berpotensi di Malaysia serta menyumbang 90 peratus daripada eksport gas asli cecair (LNG) negara.
Dasar negara perlu diutamakan
Dalam wawancara itu, Mahathir turut mengingatkan yang Sarawak adalah sebahagian daripada persekutuan, di mana dasar negara dan kepentingan nasional perlu diutamakan.
Dia berkata Sarawak adalah antara negeri yang telah menerima manfaat ekonomi kesan daripada menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
“Ketika Sarawak berada bawah pemerintahan British, adakah mereka membina menara berkembar? Mereka sangat miskin. British mengambil semua hasil mereka,” katanya.
Walaupun mengakui negeri Borneo itu mungkin berhak menerima lebih banyak hasil daripada minyak dan gas di wilayahnya, Mahathir berkata kekayaan sumber sahaja tidak menjamin kemakmuran.
Sebaliknya, katanya lagi, kejayaan bergantung kepada tadbir urus yang baik, seperti yang ditunjukkan oleh Petronas.
Mahathir turut menyuarakan rasa kecewa apabila melihat pentadbiran Sarawak menggunakan pengaruh politiknya untuk menekan kerajaan persekutuan agar akur kepada tuntutannya.
Isu tersebut perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan, katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan