Anwar ulang amalan politik lama dikritiknya dahulu



Anwar ulang amalan politik lama dikritiknya dahulu
June 16, 2025

KUALA LUMPUR: Janji-janji reformasi yang pernah dilaungkan oleh Pakatan Harapan (PH) kini dipersoalkan susulan beberapa keputusan kerajaan dilihat tidak selari dengan prinsip asal perjuangan mereka, kata Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kini memimpin kerajaan menerusi gagasan Malaysia Madani, seolah-olah kembali mengulangi amalan politik lama suatu ketika dahulu pernah dikritik hebat.

“Ketika gagasan Malaysia Madani diperkenalkan, rakyat menyambutnya sebagai satu harapan baharu, berteraskan nilai integriti, keadilan sosial dan tadbir urus baik. Namun kenyataan terbaru PMX berkaitan lantikan politik amat mengecewakan,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Anwar ketika Kongres Nasional PKR di Johor Bahru baru-baru ini yang menyifatkan lantikan politik sebagai ‘balasan yang selayaknya’, Khairul Faizi menyifatkannya sebagai bercanggah dengan semangat reformasi.

“Ini bukan sahaja mencetuskan ketidakselesaan moral, malah mengesahkan bahawa reformasi kini sekadar retorik politik hingga timbulnya tanda pagar #ReforBasi dan #ReformasiTelahMati,” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada jawatan dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini dijadikan bentuk imbuhan politik semata-mata, tanpa mengambil kira merit dan profesionalisme.

“Kita lihat Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh sendiri menyindir PMX yang dahulu mengecam amalan Barisan Nasional (BN), tetapi kini mempertahankan amalan yang sama,” tambahnya.

Mengimbas kembali gerakan reformasi 1998, Khairul Faizi berkata perjuangan menentang budaya kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa kini seolah-olah sudah pudar.

“Jika dahulu istilah seperti ‘UmnoPutera’ digunakan, kini muncul pula ‘PKRPutera’ sebagai simbol sindiran terhadap budaya elitis yang masih wujud meskipun wajah pentadbiran telah berubah,” katanya.

Beliau menegaskan, lantikan berdasarkan jasa kepada parti memperkukuh sistem politik balas budi yang merugikan negara.

“Apakah semua pengorbanan politik perlu dibayar dengan jawatan? Bagaimana pula nasib rakyat biasa yang lebih layak tetapi tidak punya hubungan politik?” soalnya lagi.

Khairul Faizi turut membidas sikap PH yang kini mempertahankan lantikan politik atas nama ‘balasan perjuangan’, sedangkan dahulu lantang mengecam amalan sama ketika era BN.

“Reformasi bukan sekadar slogan. Ia sepatutnya menjadi iltizam moral dan politik yang tulen. Bila prinsip dikorbankan, maka kepercayaan rakyat turut terjejas,” katanya.

Tambah beliau, selagi budaya patronage ini diteruskan, selagi itulah reformasi tidak lebih daripada satu permainan ilusi politik.

“Rakyat hari ini tidak lagi pasif. Mereka mahukan konsistensi moral, bukan sekadar pidato politik yang manis di telinga,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2025

Ulasan