Betulkah hutang negara menurun RM20 bilion?


Betulkah hutang negara menurun RM20 bilion?
June 21, 2025

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) menyatakan bahawa hutang negara telah menurun sebanyak RM20 bilion menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, sekali gus mencetuskan persoalan ketelusan maklumat yang disampaikan.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ramai rakyat terkejut dengan kenyataan tersebut kerana sebelum ini PMX sendiri pernah menyatakan bahawa jumlah hutang negara telah melebihi RM1.5 trilion dan terus meningkat.

“Sama ada ia adalah salah lapor media atau salah sebut oleh PMX tetapi sebetulnya, penurunan sebenar bukanlah berkaitan jumlah hutang negara secara keseluruhan tetapi merujuk kepada pengurangan jumlah pinjaman baharu tahunan kerajaan.

“Pinjaman baharu kerajaan telah menurun daripada RM100 bilion pada tahun 2022 kepada RM85 bilion pada tahun 2024 dan dijangka terus menurun kepada RM80 bilion pada tahun 2025.

“Maka, ‘penurunan RM20 bilion’ yang dimaksudkan sepatutnya adalah perbandingan jumlah pinjaman baharu, bukannya hutang keseluruhan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru katanya, ia menggambarkan kenyataan itu boleh mengelirukan sehingga difahami oleh masyarakat umum bahawa hutang negara menurun RM20 billion, sedangkan ia tetap bertambah dari tahun ke tahun.

Semalam, Anwar ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan mendakwa kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang negara sebanyak RM20 bilion sejak mengambil alih pentadbiran pada tahun 2022.

Dakwanya, kerajaan kini menyasarkan jumlah hutang dapat dikurangkan kepada RM80 bilion tahun ini, dengan pengurangan hutang negara memerlukan strategi jangka panjang menerusi pengurusan berhemah dan berperingkat oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 21/6/2025

Ulasan