CUKAI SST AKHIRNYA NANTI AKAN MEMBEBANKAN RAKYAT


CUKAI SST AKHIRNYA NANTI AKAN MEMBEBANKAN RAKYAT

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil | 12 Jun 2025

Hasrat Kerajaan Madani untuk memperluas skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mungkin dilihat sebagai langkah strategik untuk menambah hasil negara. Namun begitu, pelaksanaannya akhirnya akan membebankan rakyat, khususnya dalam suasana ekonomi yang belum benar-benar pulih. Pandangan bahawa cukai sebegini memberi tekanan kepada rakyat bukan sekadar retorik politik, tetapi berasaskan realiti semasa yang dihadapi oleh majoriti isi rumah.

Kerajaan berhujah bahawa peluasan SST adalah bersifat progresif dan bersasar. Namun di peringkat akar umbi, realitinya berbeza apabila rakyat mula merasai sendiri kesan langsung dalam bentuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

1.Kenaikan Kos Sara Hidup

Walaupun kerajaan mengecualikan beberapa barangan asas seperti ayam, beras dan minyak masak daripada SST, banyak perkhidmatan lain yang digunakan oleh rakyat biasa tetap dikenakan cukai. Antaranya termasuklah rawatan kesihatan swasta, pendidikan swasta atau tuisyen, perkhidmatan pajakan serta pembinaan.

Golongan M40 dan sebahagian B40 yang semakin bergantung kepada sektor swasta dalam aspek pendidikan dan kesihatan akan menerima kesan langsung. Mereka terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk perkhidmatan penting ini, sekali gus menyempitkan lagi ruang kewangan isi rumah mereka.

2.Pindahan Beban kepada Pengguna

Sudah menjadi amalan lazim bahawa peniaga atau penyedia perkhidmatan akan memindahkan beban cukai kepada pengguna akhir melalui kenaikan harga. Maka, akhirnya rakyat juga yang menanggungnya.

Walaupun kerajaan biasanya akan mengarahkan pegawai untuk turun padang memantau harga, keberkesanan tindakan ini masih diragui. Kesan SST mungkin kelihatan kecil secara individu, namun apabila dihimpunkan, ia menjadi beban yang signifikan bagi perbelanjaan bulanan keluarga.

3.Golongan M40 Terhimpit

Golongan pertengahan kini berada dalam situasi yang sangat mencabar. Mereka tidak layak menerima bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau SARA, namun pada masa yang sama tidak cukup kaya untuk menyerap peningkatan kos hidup yang berlaku.

Cukai seperti SST adalah sejenis cukai tidak langsung yang perlahan-lahan menghakis pendapatan boleh guna mereka. Lebih malang, beban ini datang dalam keadaan ekonomi negara yang masih belum memberikan limpahan manfaat secara adil kepada semua lapisan masyarakat.

4.Ketelusan Penggunaan Hasil Cukai Diragui

Kerajaan sering kali menegaskan bahawa hasil kutipan SST akan digunakan untuk pembangunan dan bantuan kepada rakyat. Namun demikian, persoalan yang sering dibangkitkan oleh rakyat ialah: Adakah bantuan itu benar-benar sampai kepada mereka yang layak dan memerlukan?

Tanpa jaminan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan hasil negara, keyakinan rakyat terhadap agihan hasil cukai akan terus terhakis. Rakyat berhak untuk bertanya sama ada kutipan tersebut digunakan dengan telus atau sekadar menampung ketirisan dan pembaziran dalam pentadbiran.

Penutup

Walaupun pelaksanaan SST dalam bentuk baharu ini dikatakan lebih bersasar dan adil, hakikatnya kesan rantaian ekonomi tetap menjadikan ia satu beban tambahan kepada rakyat. Lebih-lebih lagi apabila pendapatan masih stagnan, harga rumah dan sewa terus meningkat, dan kos makanan harian terus mencanak naik.

Kerajaan tidak wajar menafikan kebimbangan rakyat. Dalam keadaan ekonomi semasa, keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha menjana pendapatan rakyat, bukan menambah beban mereka secara tidak langsung melalui perluasan cukai.

KFAK

Ulasan