GENCATAN SENJATA IRAN-ISRAEL: BARA MASIH MENYALA, UMAT ISLAM JANGAN LEKA DAN TERPEDAYA
Pertempuran antara Iran dan rejim Zionis Israel baru-baru ini sekali lagi membuktikan satu perkara penting bahawa Israel sebenarnya tidaklah sekuat yang digambarkan. Tembok keangkuhan mereka boleh retak bila berdepan kekuatan yang tersusun dan keberanian yang berpaksikan prinsip.
Pada 13 April lalu, dunia menyaksikan Iran melancarkan lebih 300 serangan balas terhadap Israel, satu tindakan yang berani dan terbuka sebagai balasan ke atas pengeboman konsulatnya di Syria. Meskipun pelbagai sistem pertahanan Iron Dome, Arrow 3 dan sokongan ketenteraan AS dan sekutunya dikerahkan, namun fakta bahawa serangan ini berjaya mencemaskan Tel Aviv adalah satu tamparan hebat buat rejim Zionis.
Namun di sebalik gencatan senjata yang diumumkan, api kebencian, kerakusan dan penjajahan masih menyala. Inilah sebabnya umat Islam tidak boleh leka, apatah lagi terpedaya dengan 'perdamaian' yang sebenarnya hanyalah taktik musuh untuk melemahkan semangat juang umat.
Sebagaimana yang diingatkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam artikelnya “Perdamaian yang Memperbodohkan”, perdamaian yang dicorakkan oleh kuasa Barat dan Zionis hanyalah helah bagi memberi nafas kepada penjajahan dan kezaliman. Umat Islam sering diseru supaya 'berdamai' ketika mereka sedang tertindas sedangkan kezaliman Zionis terus berjalan tanpa henti.
“Apabila kita diserang, lalu disuruh berdamai. Apabila kita ditindas, disuruh sabar. Apabila kita dibunuh, disuruh berdiplomasi. Ini bukan perdamaian yang adil, tetapi satu bentuk penghinaan yang memperbodohkan umat Islam,” tegas Presiden PAS.
Israel: Gergasi Atas Sokongan Barat
Kejayaan Iran bukan sahaja pada aspek ketenteraan, tetapi juga dalam memecahkan mitos ketakutan yang selama ini melingkari Israel. Ramai mula menyedari bahawa kekuatan rejim Zionis bukan bersandarkan kepada kekuatan mutlak, tetapi lebih kepada kebergantungan terhadap kuasa besar seperti Amerika dan sekutunya di Eropah.
Tanpa sokongan ini, sistem pertahanan mereka akan mudah tempang. Malah, laporan dari Sinar Harian menyatakan dengan jelas bahawa rejim itu mungkin sudah lama tumbang jika dibiarkan berdepan ancaman serantau secara bersendirian.
Perpaduan Umat: Kunci Menundukkan Musuh
Dalam tempoh 12 hari ketegangan tersebut, Malaysia muncul antara negara yang teguh menyatakan solidariti terhadap Iran. Ini bukan sahaja menggambarkan sikap tegas negara kita terhadap kezaliman, tetapi juga menunjukkan bahawa dunia Islam masih ada suara yang bebas dan berani.
Namun solidariti ini tidak boleh bersifat simbolik semata. Ia mesti diterjemahkan dalam bentuk kesatuan politik, ekonomi dan ketenteraan. Dunia Islam yang memiliki lebih 1.8 bilion penduduk, kekayaan sumber asli, dan sejarah gemilang tidak sepatutnya terus berpecah-belah sehingga membiarkan musuh memperkotak-katikkan maruah umat.
Firman Allah SWT dengan jelas mengingatkan kita:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah..."
(Surah Ali-‘Imran, ayat 103)
Ayat ini bukan sekadar nasihat, tetapi perintah Ilahi untuk umat Islam agar bersatu atas dasar iman dan perjuangan yang sama. Perpecahan hanyalah membuka ruang kepada musuh untuk masuk dan menghancurkan kita dari dalam.
Apa yang terjadi antara Iran dan Israel adalah isyarat penting: bahawa rejim Zionis boleh dikalahkan jika kekuatan Islam disatukan. Bukan hanya dengan peluru dan misil, tetapi juga melalui kekuatan diplomasi, ekonomi dan jaringan sosial umat Islam seluruh dunia.
Kesimpulan: Jangan Padam Bara Ini
Walaupun gencatan senjata telah diumumkan, namun bara konflik masih menyala. Dunia Islam tidak boleh leka. Musuh tetap musuh. Mereka akan terus mencari peluang untuk menindas, menjajah dan memecahbelahkan. Oleh itu, umat Islam mesti bangkit dan bersatu.
Persengketaan ini harus membuka mata umat Islam bahawa kita tidak boleh lagi bergantung harap kepada Barat. Sudah tiba masanya kita mengatur langkah, membina kekuatan dalaman dan mewujudkan blok kuasa Islam yang benar-benar bebas, bermaruah dan disegani.
Israel boleh digertak. Rejim Zionis boleh dilemahkan. Asalkan umat Islam bersatu dan kembali kepada prinsip kekuatan akidah dan ukhuwah sejati.
Salam Maal Hijrah !
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil,
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
1 Muharram 1447 bersama 27 Jun 2025

Ulasan
Catat Ulasan