KRISIS KONSISTENSI DALAM KERAJAAN MADANI: KORUPSI, KRONISME DAN NEPOTISME SERTA JANJI REFORMASI
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ketika gagasan Malaysia Madani diperkenalkan, ia disambut sebagai harapan baharu oleh sebahagian rakyat Malaysia. Ia digarap sebagai naratif pasca-reformasi; sebuah pentadbiran yang berteraskan nilai integriti, keadilan sosial dan tadbir urus baik. Lebih-lebih lagi Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh (PMX) cukup terkenal dengan janji-janji politiknya yang kini menjadi mainan masyarakat dan diulang-ulang dalam media sosial (medsos). Namun, apabila kerajaan hari ini yang lahir daripada semangat reformasi khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali mengulangi amalan yang dahulunya dikritik, maka rakyat berhak bertanya: Di mana konsistensi moral dan prinsip perjuangan PH?
Pertama; Isu lantikan politik dan konflik moral. Dalam Kongres Nasional PKR di Johor Bahru baru-baru ini, PMX merangkap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa lantikan politik adalah wajar sebagai “balasan yang selayaknya” kepada individu yang berjasa kepada parti. Kenyataan PMX ini dilihat sebagai kenyataan yang mengecewakan, malah mengesahkan satu perkara penting: reformasi yang selama ini dijulang tinggi akhirnya terheret menjadi retorik kosong sehingga timbulnya hastag #ReforBasi dan ReformasiTelahMati.
Kenyataan PMX ini juga telah mencetuskan kekeliruan dan ketidakselesaan moral. Apakah jawatan dalam institusi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kini menjadi bentuk imbuhan politik semata-mata tanpa melihat hasil penilaian merit dan profesionalisme? Apakah reformasi yang dilaungkan selama ini hanya retorik apabila berdepan realiti kuasa? Kerana itu, Ketua Pemuda UMNO Dato’ Dr Akmal Salleh membuat kenyataan ‘menyindir’ PMX kerana dahulunya mereka kecam apa yang dilakukan oleh BN tapi akhirnya apa yang dikecam itu diperakui kebenarannya oleh PMX sendiri.
PKR Mudah Lupa : PKRPutera Ganti UMNOPutera
Sejak 1998, gerakan reformasi muncul sebagai reaksi terhadap budaya kronisme, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa ketika itu. Namun kini, dua dekad selepas itu, pemimpin yang pernah melaungkan pembaharuan kelihatan kembali kepada corak politik yang sama cuma wajahnya sahaja yang berubah. Jika dahulu istilah seperti “UMNOPutera” digunakan untuk mengecam amalan elitis dan budaya orang dalam, hari ini muncul pula sindiran baharu “PKRPutera” satu analogi yang menyindir bahawa pemerintahan pasca-reformasi hanya sekadar menukar sarung, bukan mengubah isi.
Dari Reformasi kepada Patronage
Lantikan politik berdasarkan “jasa” dan “pengorbanan” memperkukuh budaya politik patronage; satu sistem ganjaran politik di mana jawatan dan pengaruh diberi kepada individu atas dasar kesetiaan semata-mata, bukannya kelayakan. Dalam sistem seperti ini, nilai profesionalisme diketepikan dan meritokrasi dikorbankan demi kepentingan parti dan jaringan kuasa dalaman.
Persoalannya: adakah semua pengorbanan dalam politik harus dibayar dengan jawatan awam? Jika begitu, bagaimana pula nasib rakyat biasa yang berjuang dalam senyap tetapi lebih layak dan berkebolehan untuk mengisi jawatan penting dalam agensi kerajaan atau GLC? Apabila jawatan awam dijadikan hadiah balas budi, ia tidak hanya mencemar integriti pentadbiran, malah mencerminkan bahawa reformasi bukan lagi satu misi nasional tetapi sekadar agenda kuasa.
Sebelum berkuasa, PH lantang mengecam kerajaan BN kerana mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam lantikan GLC, menjadikan jawatan dalam GLC sebagai alat ganjaran politik dan bukan untuk kepentingan rakyat serta membiarkan ketirisan dan ketidakcekapan menular akibat lantikan tidak berasaskan kelayakan. Hari ini khususnya selepas PH membentuk kerajaan bersama dengan UMNO/BN, pemimpin PH sendiri mempertahankan amalan sama atas nama “balasan perjuangan”, maka yang tergadai ialah prinsip dan yang luka ialah kepercayaan rakyat.
Kesimpulan
Reformasi bukan sekadar slogan. Sepatutnya ia adalah iltizam moral dan politik untuk membuat perubahan seperti mana yang telah dijanjikan. PMX jelas tidak konsisten dengan apa yang diperjuangkan. Bukan sahaja gagal untuk melaksanakan janji-janji malah PMX dan PH dilihat sama sahaja dengan parti yang mereka tentang sebelum ini. Selagi budaya balas jasa terus menjadi dasar lantikan, selagi itulah reformasi kekal sebagai silap mata yang menipu harapan rakyat. Ingatlah bahawa rakyat Malaysia hari ini tidak lagi pasif. Mereka menuntut konsistensi moral, bukan hanya kemahiran berpidato. Rakyat bukan menolak semua lantikan politik tetapi menolak amalan tidak telus dan tidak adil yang bertopengkan slogan.
KFAK, 15 Jun 2025
Ulasan
Catat Ulasan