KRISIS PEMILIHAN PKR BERTERUSAN : BILA PEMIMPIN SENDIRI HILANG KEPERCAYAAN, ROS JADI TEMPAT MENGADU.
KRISIS PEMILIHAN PKR BERTERUSAN : BILA PEMIMPIN SENDIRI HILANG KEPERCAYAAN, ROS JADI TEMPAT MENGADU.
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Apa yang sedang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sekadar isu pemilihan dalaman biasa. Ia semakin kelihatan sebagai satu krisis keyakinan struktur yang boleh menggugat imej parti yang selama ini melaungkan reformasi, keterbukaan dan demokrasi.
Segalanya tercetus apabila Laksamana (B) Mohd Imran Abd Hamid, bekas Ahli Parlimen Lumut, tampil sebagai figura pertama yang mengemukakan aduan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada hujung Mei lalu. Dalam aduannya, beliau menyatakan terdapat 190 aduan lain yang sudah dikemukakan dari pelbagai negeri, membabitkan kelemahan proses pemilihan, khususnya sistem e-undi PKR yang didakwa mencetuskan kekeliruan dan keraguan.
Lebih drastik, beliau menggesa ROS supaya membatalkan keputusan pemilihan MPP (Majlis Pimpinan Pusat), mengadakan pemilihan semula secara menyeluruh di semua peringkat dan memastikan proses dilakukan secara lebih telus, dengan paparan keputusan secara langsung dan penggunaan identiti calon yang jelas.
Terbaharu, seorang lagi tokoh PKR, Ahmad Nizam Noh, calon Ketua Cabang PKR Lenggong, turut mengemukakan aduan rasmi kepada ROS. Beliau mendakwa wujud keputusan yang tidak munasabah, barisan beliau menang hampir keseluruhan jawatan cabang tetapi beliau sendiri tewas jawatan ketua cabang. Lebih mengejutkan, 15 ahli jawatankuasa yang menang daripada pasukannya bertindak meletakkan jawatan secara kolektif sebagai tanda protes terbuka terhadap keputusan yang dipertikaikan.
Jika sebelum ini ROS lebih dikenali dalam peranan menyelia pendaftaran pertubuhan, kini ia telah menjadi pusat aduan pemimpin politik sendiri terhadap parti yang mereka dokong. Ironi dan menyakitkan apabila “orang dalam” yang selama ini menjadi tulang belakang parti, kini terpaksa membawa isu ke luar untuk mendapatkan keadilan.
Dalam kedua-dua kes ini, kita melihat satu perkara yang sama: rasa tidak percaya terhadap sistem pemilihan parti. Walaupun laporan audit digital menyatakan sistem e-undi itu selamat dari aspek teknikal, namun ia gagal menangkis persepsi awam bahawa proses tersebut telah dicemari kelemahan pengurusan, kerahsiaan dan kekurangan integriti.
Lebih membimbangkan, ini mungkin baru permulaan. Ada desas-desus bahawa lebih ramai calon dan ahli parti dari negeri-negeri lain turut akan mengikut jejak langkah menghantar aduan kepada ROS. Jika ini berlaku, ia bakal mencipta satu gelombang krisis dalaman yang sukar dipadam dengan kenyataan media atau penafian politik semata-mata.
Apakah maknanya semua ini?
Pertama, ia memperlihatkan kegagalan reformasi struktur dalaman dalam PKR walaupun lebih 25 tahun ditubuhkan. Parti ini tidak boleh hanya melaungkan reformasi di pentas luar, sedangkan di dalam, ruang untuk audit, teguran dan ketelusan masih longgar.
Kedua, ia memberi isyarat buruk kepada pengundi menjelang PRU16. Jika ahli dan calon dalam parti sendiri tidak yakin kepada proses pemilihan parti, bagaimana mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia memimpin negara dengan adil dan telus?
Ketiga, ROS kini berdepan dilema baharu antara menjaga jarak dan bertindak atas kepentingan demokrasi dalaman. Campur tangan secara tegas boleh dianggap mencampuri urusan parti politik, tetapi berdiam diri pula bakal dilihat sebagai melindungi kepincangan.
Apa pun keputusannya nanti, satu perkara pasti: PKR perlu cermin diri. Jika parti ini tidak segera bertindak membersihkan proses pemilihan, mendengar teguran dari dalam dan membuka ruang reformasi sebenar maka parti ini mungkin akan menjadi mangsa kepada slogan sendiri.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan