MATAM MERSING SAMBUT ULANG TAHUN KE-15 : MENELUSURI SEJARAH, KEJAYAAN DAN WARISAN PENDIDIKAN TAHFIZ
Maahad Tahfiz Al-Khairiah Mersing (MATAM) hari ini menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-15 dalam suasana penuh syukur dan semangat membara untuk terus menjadi pusat kecemerlangan ilmu Al-Quran di kawasan Mersing dan sekitarnya.Perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Yahya Bin Ahmad, Mufti Negeri Johor.
Sejarah Penubuhan MATAM
MATAM bermula secara rasminya sebagai sebuah kelas tahfiz pada Januari 2010 di atas keperluan untuk mewujudkan sebuah pengsajian Tahfiz di Mersing. Pada tahun ini juga, pihak pertubuhan telah berjaya mendapatkan sebidang tanah seluas 8 ekar di Kampung Tanjung Genting untuk induk pembinaan MATAM yang diwakafkan oleh 3 orang individu.
Lonjakan terus berlaku apabila program tahfiz ini diambil alih sepenuhnya oleh Pertubuhan Al-Khairiah Mersing pada bulan September 2012. Ia kemudiannya diberi nama rasmi Maahad Tahfiz Al-Khairiah Mersing (MATAM) dan berdaftar di bawah Jabatan Agama Johor.
Penubuhan rasmi ini menjadikan MATAM sebagai sebuah institusi pendidikan tahfiz yang menawarkan kurikulum bersepadu merangkumi hafazan Al-Quran, akademik, bahasa Arab dan pengajian turath Islam.
Sambutan 15 Tahun: Kemeriahan dan Inspirasi
Sambutan ulang tahun ke-15 MATAM berlangsung dari 26 hingga 29 Jun 2025. Pelbagai program menarik diatur, antaranya jualan amal, bazar komuniti, pameran pelajar dan majlis perasmian Kelab Usahawan Huffaz, sebuah inisiatif pelajar untuk melatih keusahawanan di kalangan para hafiz muda.
Rata-rata kehadiran masyarakat Mersing dan kawasan sekitarnya amat menggalakkan. Majlis ini bukan sekadar mengenang penubuhan institusi tetapi juga sebagai lambang kasih sayang masyarakat terhadap pembangunan institusi tahfiz tempatan.
Alumni Cemerlang: Dari MATAM ke Dunia Luar
Walaupun masih muda usianya, MATAM telah melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam bidang hafazan dan akademik. Antaranya (batch Pertama MATAM):
1.Nur Ikmal Hakim bin Sabarudin (Imam, Editor Syariah, Sarjana Pengajian Islam)
Nur Ikmal Hakim merupakan antara alumni terawal yang mencipta kecemerlangan. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Pengajian Islam, dan kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kini, beliau berkhidmat sebagai Imam Masjid Seksyen 7, Shah Alam dan juga memegang jawatan sebagai Editor Syariah di Telaga Biru Sdn Bhd, syarikat penerbitan terkemuka dalam dakwah dan pendidikan Islam di Malaysia.
Di peringkat sekolah, beliau memperoleh Mumtaz dalam Sijil Menengah Ugama (SMU) dan keputusan 5A 4B dalam SPM.
2.Amir Syarif bin Khairul Faizi
(Peguam Sivil, Aktivis Dakwah)
Amir Syarif membuktikan bahawa pendidikan tahfiz tidak menghalang seseorang untuk berjaya dalam bidang profesional. Meraih Mumtaz dalam SMU dan keputusan 8A 1B dalam SPM, beliau seterusnya menyambung pengajian dalam Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kini beliau berkhidmat sebagai seorang Peguam, mempraktikkan undang-undang sivil dan syariah, sekaligus memperjuangkan keadilan berdasarkan nilai Islam.
3.Nor Hazimah binti Mohamad Sukri
(Jurulatih Korporat & Bimbingan Professional)
Nor Hazimah adalah simbol kecemerlangan golongan pelajar banat MATAM. Mencapai keputusan Mumtaz dalam SMU dan 9A dalam SPM, beliau kemudian menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Kini beliau berkhidmat sebagai Jurulatih Korporat dan Bimbingan Professional.
MATAM: Melahirkan Generasi Ulul Albab
Tiga tokoh ini hanyalah sebahagian daripada puluhan bahkan ratusan alumni MATAM yang kini berbakti kepada negara dan agama dalam pelbagai lapangan. Mereka membuktikan bahawa pendidikan tahfiz bukan hanya untuk masjid dan surau tetapi juga untuk mahkamah, media, pentadbiran dan arena intelektual.
Penutup
Selamat ulang tahun ke-15 MATAM. Semoga terus konsisten melahirkan lebih ramai ulul albab, individu yang menghimpunkan hafazan Al-Quran, kecemerlangan akademik dan sumbangan besar kepada masyarakat.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Ayah kepada tiga anak yang pernah dan sedang menuntut di MATAM
29 Jun 2025
Ulasan
Catat Ulasan