PUTRA HEIGHTS: KES SUDAH SELESAI ATAU LEBIH BANYAK PERSOALAN?
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Laporan rasmi berhubung insiden kebakaran dan letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025 baru-baru ini akhirnya dikeluarkan. Rumusan laporan itu ringkas tetapi signifikan: punca utama kebocoran gas yang membawa kepada letupan besar adalah kerana keadaan tanah yang lembut, pergerakan berulang akibat tekanan iklim serta faktor saliran dan kepadatan penduduk. Tiada unsur sabotaj, jenayah mahupun kecuaian disebut. Secara tidak langsung ia menimbulkan 'kejutan' awam yang sukar untuk menerima laporan ini.
Rumusan ini sudah tentunyamenimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Ia mengundang rasa curiga dalam kalangan masyarakat awam dan komuniti profesional teknikal, terutamanya apabila laporan itu kelihatan melepaskan semua pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
Persoalan-Persoalan Yang Perlu Dijawab
1. Mengapa “pengumpulan air bawah tanah” tidak dikesan lebih awal?
Sekiranya benar pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang menyebabkan tanah menjadi lembut, apakah tiada sistem pemantauan atau audit geoteknikal berkala dijalankan semasa penyelenggaraan rutin oleh pihak berwajib? Bukankah ini sepatutnya sebahagian daripada protokol keselamatan asas?
2. Apa maksud “tekanan iklim”?
Jika perubahan iklim menyebabkan tekanan ke atas struktur tanah dan paip, maka di mana kajian impaknya terhadap integriti saluran paip gas? Kenapa tiada intervensi awal? Bukankah ini menuntut semakan semula terhadap seluruh rangkaian paip di Malaysia?
3. Kepadatan penduduk, maka salah siapa?
Jika kepadatan menjadi faktor, tidakkah itu menunjukkan kelemahan dalam perancangan bandar dan penguatkuasaan zon keselamatan paip gas? Siapa yang meluluskan pembangunan di atas atau berhampiran kawasan berisiko tinggi ini?
4. Adakah jurutera, konsultan dan kontraktor ‘maksum’?
Dengan hanya menyalahkan “tanah”, adakah ini bermaksud tiada tanggungjawab perlu dipikul oleh jurutera perunding, agensi teknikal, mahupun pengurusan projek? Sedangkan standard kejuruteraan gas dan keselamatan industri kita diketahui sangat ketat, apakah semua itu terlepas dari penelitian sewaktu insiden berlaku?
Jika benar seperti laporan itu, maka seluruh rangkaian paip gas di Malaysia yang beribu kilometer panjangnya mungkin berada dalam bahaya yang sama. Maksudnya, semua kawasan perumahan, premis perniagaan dan sekolah yang terletak berdekatan laluan paip boleh dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi.
Ini membawa kepada persoalan lebih besar:
1. Adakah piawaian keselamatan Petronas dan penguatkuasaan Suruhanjaya Tenaga selama ini mencukupi?
2. Bagaimana tahap kompetensi konsultan, jurutera dan badan kelulusan selama 30–40 tahun ini?
3. Apakah wujud unsur kelalaian dalam menyelia kerja-kerja tanah berhampiran paip sewaktu musim cuti umum yang mungkin mencetuskan letupan?
Seruan Tindakan Lanjut
Kita tidak boleh menerima laporan ini sebagai “kes selesai” tanpa pengesahan bebas daripada pihak ketiga. Lebih penting, Kerajaan perlu mendedahkan laporan penuh siasatan teknikal secara telus kepada rakyat.
Jika benar ini “act of God”, maka perlukah kita tunggu bencana berikutnya sebelum bertindak?
Justeru adalah perlu untuk kerajaan menyatakan:
1. Apakah pelan tindakan segera untuk mengkaji semula keselamatan semua laluan paip gas negara?
2. Siapa yang akan memantau, mengaudit dan memperbetulkan kelemahan sistemik dalam perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan paip ini?
Penutup
Insiden Putra Heights tidak boleh dibiarkan menjadi sekadar nota kaki dalam laporan pasca bencana. Ia adalah amaran keras bahawa sistem kita dari sudut teknikal, pentadbiran dan politik sedang diuji. Jika kita terus menuding kepada tanah, cuaca dan “takdir” tanpa pembaharuan yang tegas, maka kita hanya menunggu tragedi berikutnya untuk terjadi.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan