Reformasi: Pandai buat janji tapi sukar laksanakan


Reformasi: Pandai buat janji tapi sukar laksanakan
June 11, 2025

Share
Khairul Faizi Ahmad Kamil.

KUALA LUMPUR: Kegagalan Kerajaan Madani menunaikan janji-janji pilihan raya merupakan satu pengajaran jelas bahawa membuat janji adalah mudah, tetapi melaksanakannya memerlukan kejujuran dan kesungguhan, kata Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu berkata kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mengakui bukan mudah untuk melaksanakan segala dihajati membuktikan betapa janji pernah diuar-uarkan sebelum ini sebenarnya tidak berpijak di bumi nyata.

“Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Dato’ Seri Anwar, apa yang dihajati dan dicita bukan mudah untuk dilaksana. Semua orang tahu hakikat bukan mudah untuk membuat sesuatu perubahan dalam masa yang singkat.

“Malangnya, bagi Dato’ Seri Anwar sebelum diangkat sebagai Perdana Menteri sebelum ini, semuanya mudah sehingga membuatkan ramai yang terpesona,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Khairul Faizi juga berkata, ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak berupaya menghapuskan tol, dan menurunkan harga minyak petrol dan diesel, alasan yang diberikan adalah kerana waktu itu beliau bukanlah Perdana Menteri.

“Janji untuk turunkan harga minyak adalah kalimah keramat yang selalu diungkapkan, ‘hari ini menang, esok minyak turun!’ sudah sebati dengan telinga rakyat Malaysia.

“Duit Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) boleh berikan pendidikan percuma, tapi nampaknya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pun masih kena bayar lagi,” katanya.

Beliau berkata, rakyat kini hanya disogok dengan pelbagai alasan kononnya terdapat halangan untuk menunaikan janji-janji tersebut, sedangkan retorik yang sama pernah digunakan oleh pemimpin sama sewaktu mereka bukan kerajaan.

“Tapi ketika ini apa yang boleh dihidangkan kepada kita adalah alasan-alasan yang diatur dan ditutur untuk mengaburi mata agar janji-janii tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana ada halangan.

“Laungan ‘lawan tetap lawan’ pun akhirnya tidak berani lawan, inikan lagi janji yang terus dicapati berkali-kali. Inilah padah apabila pandai membuat janji tapi akhirnya sukar untuk dilaksana,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, agenda reformasi perlu mengambil masa dan memerlukan sokongan daripada gabungan PH, yang menurutnya tidak mempunyai majoriti mudah di Parlimen.

Tambah beliau, PH hanya mempunyai 81 daripada 222 kerusi di Parlimen, ia perlu bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membina konsensus mengenai agenda reformasi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang baru-baru ini mengumumkan percutian dua minggu di Perancis telah menyatakan untuk merenung masa depan politik ini.

“Begitu banyak masa (15 tahun) dan usaha telah dicurahkan untuk sampai ke tampuk kuasa, namun saya tidak dapat menafikan rasa bimbang yang mendalam kerana pencapaian reformasi masih begitu sedikit.

“Saya percaya kita mampu mencapai lebih banyak reformasi, dan satu-satunya cara untuk mencapainya adalah kita, para Ahli Parlimen, mesti lebih berani mendesak kerajaan dari barisan belakang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/6/2025

Ulasan