“SISTERS IN ISLAM: ANTARA NAMA, HAK DAN TANGGUNGJAWAB TERHADAP AGAMA"



“SISTERS IN ISLAM: ANTARA NAMA, HAK DAN TANGGUNGJAWAB TERHADAP AGAMA"

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Isu yang tercetus berhubung penggunaan nama Sisters in Islam (SIS) oleh sebuah NGO wanita liberal bukanlah isu baharu. Namun, titah terbaru Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ini yang menggesa agar nama tersebut tidak lagi digunakan, telah membuka semula ruang perbincangan yang sangat penting iaitu soal tanggungjawab terhadap kesucian agama Islam dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.

1. Mengapa Titah Ini Penting dan Wajar Dihormati

Sebagai seorang ahli politik Islam yang berpegang kepada prinsip Syura dan kedaulatan Islam dalam sistem kenegaraan, saya melihat titah Sultan Selangor ini bukan sahaja wajar, malah tepat pada waktunya. Baginda bukan bercakap sebagai individu biasa, tetapi sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak.

Dalam keadaan umat Islam berdepan pelbagai cabaran ideologi liberalisme, pluralisme, sekularisme dan relativisme moral, penggunaan nama “Islam” secara bebas oleh mana-mana entiti bukan hanya mengelirukan, tetapi boleh menjadi pintu masuk kepada kekeliruan akidah dan penyimpangan pemikiran.

2. Mahkamah dan Fatwa: Dua Dimensi yang Perlu Difahami

Saya perlu menyatakan bahawa saya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberikan keadilan dari sudut teknikal perundangan. Namun perlu difahami bahawa keputusan itu tidak menolak kandungan fatwa secara substantif, sebaliknya hanya menyatakan bahawa fatwa tidak terpakai kepada syarikat berdaftar seperti SIS.

Namun dalam konteks umat dan akidah, kita tidak boleh hanya bergantung kepada tafsiran undang-undang semata-mata tanpa mengambil kira implikasi agama dan tanggungjawab sosial. Fatwa itu dikeluarkan bukan atas dasar politik tetapi atas pertimbangan syarak dan maslahah umat Islam.

3. “Islam” Bukan Label Suka-Suka

Kita semua berhak untuk bersuara, tetapi bila seseorang atau sesebuah pertubuhan menggunakan nama “Islam”, maka secara automatik mereka mengangkat nama agama Allah SWT. Sedarilah bahawa ini bukan perkara kecil. Menggunakan nama Islam bukan soal branding atau promosi tetapi membawa implikasi akidah, syariat dan persepsi umat.

Adakah wajar sebuah NGO yang jelas membawa pendekatan tafsiran Islam yang bercanggah dengan jumhur ulama, terus memakai nama "Islam"? Ini bukan soal sekat kebebasan, tapi soal menjaga maqasid agama iaitu memelihara Islam dari disalah erti, disalah tafsir dan disalah guna.

4. SIS, Demokrasi dan Tanggungjawab

Saya tidak menafikan bahawa dalam negara demokrasi, NGO seperti SIS berhak bersuara. Tetapi dalam demokrasi juga, suara majoriti umat Islam perlu dihormati. Kita tidak menolak keterbukaan tetapi keterbukaan itu mesti hadir dengan batasan adab, tatasusila dan rasa hormat kepada struktur agama yang sah seperti Majlis Agama, Mufti, dan Fatwa.

Perjuangan keadilan wanita dalam Islam boleh diteruskan, tetapi ia perlu berpaksikan kepada disiplin ilmu Islam yang muktabar, bukan ditafsir sesuka rasa atau dipengaruhi oleh nilai-nilai Barat semata-mata.

5. Peranan Raja dan Institusi Agama: Perlu Diperteguh

Sebagai seorang warga negara Malaysia yang percaya kepada keluhuran Perlembagaan dan keistimewaan Islam sebagai agama Persekutuan, saya menyeru agar kita semua, khususnya orang Islam, menghormati peranan Raja-raja Melayu sebagai pelindung agama Islam, serta memperkukuhkan institusi agama agar tidak dilihat lemah atau diketepikan dalam isu-isu besar seperti ini.

Penutup: Teguran Penuh Kasih Sayang

Titah Sultan Selangor ini tidak perlu dilihat sebagai tindakan keras tetapi sebagai teguran penuh hikmah dan kasih sayang terhadap sebuah pertubuhan yang sedang berjalan dalam lorong yang berbahaya. Dalam memperjuangkan hak, jangan sampai kita merosakkan struktur agama. Dalam menuntut ruang bersuara, jangan sampai kita menenggelamkan suara kebenaran yang hakiki.

Saya mengajak seluruh umat Islam agar kita kembali kepada asas perjuangan: menegakkan kebenaran dengan ilmu, berpegang kepada warisan ulama dan tidak sewenang-wenangnya mengangkat nama suci Islam untuk tujuan yang mengelirukan umat.

KFAK

Ulasan