TRAGEDI NAHAS BAS PELAJAR UPSI: TANGGUNGJAWAB, TRAUMA DAN TINDAKAN
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Pada pagi 10 Jun 2025, negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi jalan raya yang meragut 15 nyawa dan mencederakan 33 yang lain. Insiden tragis ini melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak. Insiden ini berlaku sekitar jam 12.30 hingga 1.00 pagi di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak.
Tragedi ini menjadi yang paling buruk sejak insiden Genting Highlands pada tahun 2013 yang meragut 37 nyawa, mengundang persoalan besar tentang aspek keselamatan pengangkutan awam, kelonggaran penguatkuasaan dan tanggungjawab pihak yang terlibat.
Malah, malam tadi suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar hening seketika apabila sesi bertafakur selama satu minit diadakan sebelum sepak mula perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Vietnam sebagai tanda memperingati tragedi kehilangan 15 pelajar UPSI ini.
Detik Hitam di Tengah Malam
Menurut siasatan awal, bas berkenaan dipercayai dipandu laju oleh seorang pemandu gantian dari syarikat lain. Ia telah melanggar sebuah Perodua Alza dari arah belakang sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan. Beberapa mangsa tercampak keluar dari bas manakala sebahagian lagi terperangkap dalam kenderaan tersebut.
Operasi menyelamat melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Kementerian Kesihatan dan polis. Bahagian belakang bas dipotong menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa. Sebanyak 13 mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi disahkan meninggal di hospital.
Siapa Mereka Yang Terlibat?
Kebanyakan mangsa adalah mahasiswa muda dari pelbagai fakulti di UPSI. Antara yang terkorban ialah pelajar dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains Matematik, Fakulti Teknikal dan Vokasional serta Fakulti Pengurusan dan Ekonomi. Kesemuanya mangsa berusia antara 20 hingga 23 tahun.
Mangsa dalam kenderaan Perodua Alza pula merupakan empat sekeluarga yang terselamat, walaupun mengalami kecederaan. Anak bongsu pasangan itu baru berusia dua tahun.
Siapa Yang Bertanggungjawab?
Syarikat pengendali bas, Kenari Utara, telah menafikan menggunakan pemandu lori sebagai pemandu gantian. Namun, semakan polis mendapati pemandu berusia 39 tahun itu mempunyai 18 saman; 13 daripadanya kerana kesalahan memandu laju. Dalam masa yang sama, bas tersebut juga mempunyai 21 saman trafik.
Walaupun pemandu terbabit memohon maaf dan mendakwa kegagalan brek menjadi punca nahas, rakaman dashcam yang tular menunjukkan bas dipandu laju ketika cuba memotong kenderaan lain di selekoh. Rakaman ini menimbulkan kemarahan rakyat yang menuntut keadilan dan tindakan tegas.
Suara Mereka Yang Terselamat
Testimoni mangsa terselamat memberi gambaran ngeri yang sukar dibayangkan. Aleeya Maisarah, 21, menceritakan bagaimana dia hanya mampu melihat rakan-rakannya menjerit dan meronta sebelum semuanya senyap. Seorang lagi pelajar, Nur Adilah, selamat kerana terlewat 15 minit dari menaiki bas tersebut, satu peristiwa yang walaupun menyelamatkan nyawanya, meninggalkannya dalam trauma mendalam.
Reaksi Kerajaan dan Pihak Berkuasa
Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali, selain pemeriksaan menyeluruh terhadap bas dan syarikat. Menteri Anthony Loke turut mengumumkan rancangan memperkenalkan pengehad kelajuan mandatori (speed limiter) pada kenderaan berat.
Menteri Undang-Undang, Azalina Othman, mencadangkan penggubalan undang-undang seperti Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007 dari United Kingdom bagi mendakwa syarikat yang cuai hingga menyebabkan kematian.
Kerajaan negeri Perak dan Terengganu juga tampil menyalurkan bantuan kewangan dan sokongan psikososial kepada keluarga mangsa. Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, turut turun padang menyantuni waris mangsa dan menegaskan pentingnya langkah pencegahan agar tragedi sebegini tidak berulang.
Tragedi Yang Menguji Nilai Nyawa
Tragedi ini lebih daripada sekadar statistik kehilangan nyawa. Ia membuka semula luka lama dan persoalan besar yang belum terjawab; adakah nyawa rakyat Malaysia hanya seharga saman yang tidak dibayar? Adakah tragedi demi tragedi diperlukan untuk undang-undang lebih tegas dikuatkuasakan?
Maka, bukan hanya siasatan dan hukuman yang kita tuntut, tetapi perubahan sistemik dari penguatkuasaan, pemantauan syarikat pengangkutan awam, sehinggalah kepada budaya keselamatan yang seharusnya menjadi asas perkhidmatan pengangkutan awam.
Semoga tragedi ini menjadi noktah kepada kelalaian dan pemangkin kepada perubahan yang diimpika kerana setiap nama yang terkorban bukan sekadar senarai tetapi harapan dan impian yang telah diragut dari negara ini.
KFAK, 11 Jun 2025
Ulasan
Catat Ulasan