HABIS MADU, SEPAH DIBUANG : NASIB ELON MUSK DI TANGAN TRUMP





HABIS MADU, SEPAH DIBUANG : NASIB ELON MUSK DI TANGAN TRUMP

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Ada pepatah Melayu berbunyi: “Habis madu, sepah dibuang.” Itulah yang sedang berlaku di Amerika ketika ini apabila Elon Musk menjadi sepah yang sudah tidak lagi manis buat Donald Trump.

Presiden kontroversi itu, yang terkenal dengan ugutan luar tabii, kini membayangkan bakal menghantar balik Elon Musk ke Afrika Selatan, hanya kerana Musk berani bersuara menentang rang undang-undang kegemarannya. Memang nampak lucu tetapi ianya benar terjadi. Dari bilik mesyuarat Gedung Putih ke ruang maya media sosial, Trump tidak lagi menyembunyikan amarahnya.

Ironinya, Musk bukan orang sembarangan. Beliau antara penyumbang terbesar kepada kempen Trump pada 2024. Dia bukan sahaja menghulur dana, bahkan turut menghulur legitimasi kepada dasar-dasar Trump di era awal pentadbiran. Tetapi dalam dunia realpolitik, bukan soal jasa yang dihitung tetapi sejauh mana anda masih setia membisu. Walaupun ramai yang bercakap tentang Musk ada kepentingan perniagaan dalam kempen Pilihan Raya Presiden sebelum ini tetapi Musk tetap meneruskan sokongan kewangannya kepada Trump.

Kini kerana Elon mula bersuara, mengkritik “One Big Beautiful Bill” yang sebenarnya hanyalah One Big Beautiful Mess dengan Trump mula menajamkan kuku. Ugutan siasatan subsidi, sindiran di media sosial dan bayangan diusir ke tanah asal, ini bukan lagi politik konservatif tetapi ini politik balas dendam.

Seperti biasa, kebenaran tidak lagi penting dalam permainan ini. Apa yang penting ialah kawalan. Elon yang selama ini menjadi simbol kejayaan Amerika moden dengan Tesla, SpaceX, Starlink, kini mula dicampak ke lembah kehancuran hanya kerana tidak lagi seirama dengan kehendak sang presiden.

Tindakan Musk mencadangkan parti baharu iaitu “America Party” seolah-olah mencabar dua parti lama yang semakin reput dimakan kerakusan. Tapi apakah rakyat Amerika sudah bersedia untuk politik baru yang tidak tunduk kepada kultus peribadi?

Lebih penting lagi, jika Elon Musk pun boleh dibuang selepas berjasa, bagaimana nasib rakyat biasa yang mengkritik kuasa?

Dunia sedang menyaksikan bukan sekadar perebutan dasar antara teknologi dan politik tetapi juga peringatan keras: dalam dunia elit, tiada kesetiaan kekal hanya kepentingan yang abadi.

Janji akan terus kekal sebagai janji yang disimpan kemas dalam lipatan sejarah. Ia hanyalah menjadi bahan kempen untuk meraih sokongan rakyat namun bila kuasa telah ada di tangan, alasan demi alasan terus dicipta untuk mensucikan diri. Lain yang dijanji, lain yang diberi dan dilaksana.

Begitu jugalah dengan janji “Menang hari ini, esok minyak turun” terus menjadi janji yang dimungkiri di tanah air kita.

KFAK

Ulasan