Himpunan 26 Julai: Amarah rakyat sampai kemuncak
July 1, 2025

Khairul Faizi Ahmad Kamil
KUALA LUMPUR: Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini dilihat sebagai simbol kekecewaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan kerana gagal menunaikan janji reformasi dan membela nasib rakyat.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kemunculan pelbagai siri himpunan sebelum ini bukan hanya digerakkan parti politik, tetapi lahir daripada desakan rakyat termasuk mahasiswa yang suatu ketika dahulu mengangkat slogan ‘reformasi’.
“Daripada Himpunan Rakyat Benci Rasuah ke tindakan mahasiswa di Sabah yang berani mempamerkan plakad menyindir kerakusan kuasa, kini rakyat bersedia turun dalam Himpunan Turunkan Anwar pada 26 Julai.
“Ini bukan lagi sekadar amarah pembangkang, tetapi isyarat rakyat marhaen yang muak dengan retorik dan sandiwara reformasi,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial.
Menurut beliau lagi, kerajaan yang pernah diangkat dengan penuh harapan kini dilihat lebih banyak menampilkan imej pemimpin bergambar bersama artis dan golongan elit berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.
Katanya, rakyat sudah mula menunjukkan reaksi kecewa termasuk dalam kalangan penjawat awam, pelajar institut pengajian tinggi dan kelompok peniaga kecil.
“Pelantikan kroni dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kenaikan kadar cukai perkhidmatan serta kegagalan menunaikan janji penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya menambah luka yang sedia ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul Faizi turut membidas kenyataan segelintir pemimpin kerajaan yang menyifatkan perhimpunan itu digerakkan oleh golongan kecewa dan anti kerajaan.
Katanya, suara-suara yang akan berhimpun itu sebahagian besarnya datang daripada penyokong kerajaan terdahulu tetapi kini berasa tertipu dengan janji reformasi tidak ditepati.
“Cukuplah rakyat terus dijadikan benteng kepada pemimpin yang ‘cakap tak serupa bikin’. Himpunan ini tanda amarah rakyat yang sudah sampai ke kemuncaknya,” katanya.
Himpunan 26 Julai dijangka berlangsung di ibu negara dan bakal disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk aktivis mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat biasa. – HARAKAHDAILY 1/7/2025
Ulasan
Catat Ulasan