LAPOR POLIS HIMPUNAN TURUN ANWAR : PKR IBARAT KACANG LUPAKAN KULIT
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Perhimpunan TURUN ANWAR yang dirancang berlangsung pada 26 Julai 2025 telah mengundang reaksi keras dan melatah daripada penyokong serta pimpinan akar umbi PKR. Laporan polis demi laporan polis dibuat, bukan oleh pihak kerajaan, tetapi oleh mereka yang pernah satu masa dahulu menjadikan demonstrasi sebagai denyut nadi perjuangan. Anehnya, yang dulu melaungkan "lawan tetap lawan" kini menjerit "hasutan, hasutan!" sambil menggenggam akta demi akta.
Apakah yang sedang berlaku kepada PKR? Parti yang lahir dari jalanan, dari kebangkitan rakyat yang kmenuntut keadilan, kini seakan lupa dari rahim mana mereka dilahirkan. Apakah mereka benar-benar tidak faham atau buat-buat tidak faham bahawa tunjuk perasaan adalah hak rakyat dalam sistem demokrasi? Adakah kerana mereka yang dahulunya berjuang demi keadilan telah ramai meninggalkan PKR dan diganti oleh mereka yang lahir ketika PKR sudah selesa di puncak kuasa?
Lebih membingungkan apabila seorang pemimpin cabang PKR mendakwa bahawa promosi himpunan oleh portal Harakah adalah satu bentuk “hasutan” dan ancaman kepada demokrasi berparlimen. Satu dakwaan yang bukan sahaja tidak logik tetapi turut membuktikan bahawa semangat reformasi yang mereka canang selama ini sudah berkubur. Seolah-olah mereka lupa bahawa reformasi itu sendiri adalah tindakan menuntut perubahan melalui tekanan awam termasuk demonstrasi dan himpunan aman.
Sudah lupakah bahawa mereka jugalah yang terlibat sama menggerakkan massa untuk menurunkan lautan rakyat ke jalan raya? Hari ini mereka meminta pihak polis menutup Dataran Merdeka daripada rakyat yang mahu berhimpun secara aman. Di mana prinsipnya? Di mana keberanian anak muda reformis yang dulu?
Sebagaimana disebut oleh Naib Presiden PAS, YB Datuk Ustaz Idris Ahmad, PKR ini lahir daripada perut jalan raya. Bukan lahir di bilik mesyuarat atau bilik menteri. Tapi kini, mereka lebih takut kepada suara rakyat daripada gas pemedih mata yang dulu mereka anggap sebagai "minyak wangi perjuangan". Ironi yang memalukan, sangat memalukan!
Realitinya, TURUN ANWAR bukan himpunan yang mencetus rusuhan tetapi manifestasi kekecewaan rakyat terhadap prestasi seorang Perdana Menteri yang dilihat gagal menunaikan janji reformasi. Jika benar PKR yakin berada di pihak yang betul, biarlah rakyat berhimpun. Hujah dilawan dengan hujah, bukan dengan laporan polis.
Rakyat bukan lagi bodoh. Mereka tahu beza antara protes aman dengan hasutan. Rakyat juga tidak buta sejarah. Mereka tahu siapa yang pernah menjerit "tugas kita adalah untuk menghasut rakyat". Maka jangan hipokrit bila peranan itu kini dimainkan oleh orang lain.
Kepada penyokong PKR, ingatlah bahawa Reformasi bukan sekadar slogan. Ia adalah tanggungjawab untuk terus menjunjung hak rakyat bersuara, walaupun suara itu tidak memuji Perdana Menteri kesayangan anda.
Tidaklah salah jika PKR dilihat seperti kacang lupakan kulit.
KFAK
Ulasan
Catat Ulasan