MUKTAMAR DPPNJ KE-53 : RIBAT! PEMUDA MEMIMPIN MASA HADAPAN
Oleh : Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk turut hadir bersama dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang berlangsung di SMITI Negeri Johor, Kulai pada pagi ni. Kehadiran saya bukan sekadar nostalgia sebagai mantan Ketua Pemuda Negeri, tetapi juga sebagai tanda pengiktirafan dan penghormatan terhadap generasi baharu yang kini memikul amanah sebagai penerus perjuangan di negeri Johor ini.
Lebih istimewa, saya berpeluang menyaksikan sendiri ucaptama penuh bersemangat oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal bin Dato' Mahfodz yang memilih tema “Ribat! Pemuda Pemimpin Masa Hadapan” satu gagasan besar yang sangat dekat dengan semangat dan asas penubuhan Dewan Pemuda PAS itu sendiri.
Istilah ribat bukan sembarangan. Ia disebut sebagai benteng utama penjaga sempadan Islam dan dalam konteks gerakan Islam kontemporari, ribat adalah simbol kesiapsiagaan total, baik dari segi fikrah, strategi mahupun keberanian anak muda dalam berhadapan cabaran zaman.
Ucapan Ustaz Nawfal telah menggariskan tujuh sektor wawasan kemenangan sangat bertepatan dengan keperluan semasa, antaranya adalah tentang kepentingan untuk pengukuhan organisasi dan struktur kewangan, pemantapan tarbiyyah dan sistem kaderisasi, pembinaan barisan pewaris kepimpinan PAS, normalisasi pendidikan PAS dalam masyarakat dan penguasaan media baru. Ahmad Nawfal telah meletakkan sektor produk pendidikan PAS sebagai pilihan utama dalam masyarakat di negeri Johor yang perlu diperkembangkan.
Sebagai orang yang pernah berada di posisi ini, saya tahu bahawa jalan Pemuda bukan jalan mudah. Ia memerlukan ketahanan mental, kekuatan spiritual dan hikmah dalam tindakan. Justeru saya amat menghargai pendekatan yang dibawa kepimpinan Pemuda hari ini untuk menyeimbangkan antara ideal perjuangan dan realiti politik negeri Johor.
Satu perkara penting yang ditegaskan dalam ucaptama ialah peranan Pemuda PAS sebagai pewaris, bukan pewaris yang bersifat pasif, tetapi pewaris yang membina, menyambung dan memperkukuh legasi perjuangan.
Saya percaya, pemuda yang tidak memahami sejarah gerakan akan mudah hanyut dengan arus luar. Sebaliknya, pemuda yang faham akar umbi perjuangan dari sistem tarbiyah PAS, penglibatan dalam Jabatan Amal, PASTI hingga ke pentas siasah akan tetap teguh, istiqamah dan berani.
Penutup : Menyambung Ribat, Menyambung Amanah
Saya menyeru agar barisan Pemuda PAS Negeri Johor hari ini tidak berhenti pada muktamar ini semata-mata. Teruskan usaha mengorganisasi kekuatan, merakyatkan tarbiyyah dan menjadikan PAS sebagai solusi kepada keresahan rakyat, khususnya anak muda di Johor yang mencari arah.
Biar kita letih dalam perjuangan, asalkan jangan menyesal kerana tidak pernah berjuang.
Akhirnya, saya titipkan doa agar kepimpinan Pemuda PAS Negeri Johor terus gagah di medan ribat, berjuang bukan kerana nama, tetapi kerana Allah SWT.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Johor
Penolong Setiausaha Agung PAS
13 Julai 2025
Ulasan
Catat Ulasan