MUKTAMAR DPPNJ : MENJIWAI KALAM PESANAN USTAZ IDRIS AHMAD
Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Alhamdulillah, saya terpanggil untuk mencatatkan secebis komentar penuh penghargaan dan pengiktirafan terhadap ucapan perasmian Dato’ Ustaz Idris bin Ahmad, Naib Presiden PAS merangkap mantan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Johor 2025 yang berlangsung di SMITI, Kulai.
Sebagai seorang yang pernah duduk dalam gelanggang Pemuda PAS Negeri Johor, saya melihat ucapan beliau bukan sekadar merasmikan muktamar, tetapi telah menjadi wasiat perjuangan yang sangat menyentuh hati dan menggugah semangat kami semua.
Ayat Perjuangan yang Membangkitkan Jiwa
Ustaz Idris membuka ucapan beliau dengan ayat ke-10 dan ke-11 dari Surah As-Saff, satu ayat yang sudah lama menjadi motivasi dalam gerakan dakwah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?”
"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)"
Ayat ini adalah undangan dari Allah sendiri kepada para pejuang dan hari ini, beliau membawanya dengan nada penuh ruh dan tanggungjawab, mengingatkan kita bahawa perjuangan ini bukan duniawi, tetapi jalan menuju ke akhirat.
Johor Sedang Berubah, Pemuda Harus Lebih Bersedia
Ucapan Ustaz Idris yang menyentuh tentang transformasi PAS di Johor amat bermakna buat kami yang menyaksikan sendiri jerit-perih pembinaan jamaah di negeri ini. PAS Johor suatu ketika dahulu hanya bertahan dengan semangat, kini sudah mula menunjukkan hasil dengan infrastruktur seperti SMITI dan peningkatan sokongan dari pelbagai lapisan masyarakat.
Benar kata beliau, perjuangan ini tidak bermula dengan kita dan tidak akan berakhir dengan kita. Kita hanyalah mata rantai dalam perjuangan yang panjang dengan memetik hikmah dari kata-kata as-Syahid Syed Qutb yang sangat berbekas:
"Kita akan merasa sempit bila menganggap perjuangan ini milik kita, tetapi kita akan lapang bila faham perjuangan ini milik Allah."
20 Wasiat Pejuang: Menjadi Pewaris Bukan Pengisi Ruang
20 pesanan beliau adalah intipati seorang murabbi. Ia bukan sekadar panduan organisasi tetapi adalah sistem binaan ruhani dan amali yang perlu dijadikan asas dalam membina Pemuda PAS yang sejati.
Daripada jaga ibadah, Ma’thurat, usrah, doa dan istighfar, hingga kepada thiqah kepada pimpinan, menjaga ukhuwwah, hadir mesyuarat, bangunkan tanzim dan kukuhkan kewangan, semuanya merupakan gabungan antara disiplin ruhani dan disiplin gerak kerja.
Pesanan tentang menjadi penyebar maklumat benar dan penangkis fitnah, tentang PASTI, anak-anak ahli PAS di universiti dan menghidupkan kelab-kelab alternatif Pemuda seperti ARC dan ACC adalah bukti bahawa beliau masih sangat mengikuti denyut nadi Pemuda hingga ke akar umbi.
20 PESANAN PERASMI
1. Jaga ibadat kita dengan Allah
2. Jangan lupa membaca al-Quran setiap hari
3. Wajibkan diri dalam usrah, guna silibus Tarbiyyah PAS
4. Jangan jemu berdoa setiap hari
5. Sentiasa membaca Ma’thurat
6. Berselawat dan beristighfar 100 kali setiap hari
7. Langgan Harakah dan baca HarakahDaily
8. Jadilah penyebar maklumat sahih dan penangkis fitnah
9. Hadiri mesyuarat organisasi secara berdisiplin
10. Pertahankan PASTI, benteng awal pendidikan Islam
11. Fokus kepada pembinaan tanzim yang mantap
12. Cakna anak-anak ahli yang masuk universiti
13. Pemuda mestilah positif dan optimis
14. Thiqah dengan pimpinan dalam segala keadaan
15. Jaga ukhuwah dalam jamaah
16. Rasa bersalah jika abaikan amanah kerja jamaah
17. Fikirkan cara bangunkan parti, bukan kepentingan sendiri
18. Bawa anak-anak ke markaz PAS
19. Kukuhkan dana kewangan parti secara sistematik
20. Hidupkan 14 kelab alternatif Pemuda (ARC, ACC, ABC dan lain-lain)
Menutup Dengan Harapan: Teruskan Ribat Ini
Saya yakin, ramai perwakilan yang hadir hari itu pulang dengan rasa berat dan bangga berat kerana memikul amanah besar, bangga kerana menjadi sebahagian daripada saf pejuang yang ditarbiyyah oleh murabbi sehebat Ustaz Idris.
Saya menyarankan agar ucapan ini tidak hanya didengar tetapi ditulis, disebar dan dijadikan bahan usrah serta pengisian organisasi. Pesanan ini terlalu mahal untuk dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Kepada Pemuda PAS Negeri Johor, teruskan perjuangan ini dengan ikhlas dan istiqamah. Anda bukan sekadar pengisi kerusi muktamar, anda adalah penerus perjuangan yang dipertaruhkan untuk masa depan Islam dan negara.
Wassalam...
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
13 Julai 2025 | Kulai, Johor
Ulasan
Catat Ulasan