PERARAKAN MAJLIS PEGUAM MALAYSIA : LANGKAH KIRI NURUL IZZAH ANWAR


PERARAKAN MAJLIS PEGUAM MALAYSIA : LANGKAH KIRI NURUL IZZAH ANWAR

Saya terpanggil untuk mengulas tindakan Nurul Izzah Anwar (NIA), Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyertai perarakan anjuran Majlis Peguam Malaysia semalam. Perarakan tersebut diadakan sebagai reaksi terhadap isu dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim tertinggi negara, satu isu yang sangat serius dan menyentuh asas keutuhan sistem demokrasi negara kita, iaitu kebebasan badan kehakiman.

Namun penyertaan NIA ini tidak boleh dilihat dalam vakum atau semata-mata atas kapasiti “rakyat yang prihatin” seperti yang beliau nyatakan. Apabila seseorang itu memegang jawatan kedua tertinggi dalam parti pemerintah, tindakannya secara langsung membawa makna politik, persepsi awam dan isyarat strategik. Ia bukan sekadar tindakan peribadi, apatah lagi apabila beliau juga merupakan anak kepada PMX yang kini berada di tengah-tengah kritikan berhubung dakwaan campur tangan tersebut.

Tindakan NIA bukan sahaja menimbulkan tanda tanya di kalangan pemerhati politik malah menambahkan lagi kecelaruan dan kekeliruan di dalam partinya sendiri. Jika benar keprihatinan terhadap integriti institusi kehakiman menjadi asas kepada penyertaan beliau dalam perarakan ini, maka pendekatan yang lebih berkesan dan konsisten ialah dengan menggunakan saluran dalaman PKR. NIA adalah Timbalan Presiden PKR, beliau mempunyai kedudukan dan pengaruh yang cukup signifikan untuk membawa isu ini ke peringkat tertinggi, bukan sekadar menyertai perarakan awam yang akhirnya menimbulkan kekeliruan terhadap pendirian parti dan kerajaan.

Perlu juga diingat, tindakan beliau ini berlaku dalam suasana yang panas, ketika sembilan pemimpin PKR termasuk mantan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dikritik dan dituntut digantung kerana menyuarakan kebimbangan yang sama melalui sidang media dan desakan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Persoalannya kini: adakah tindakan disiplin hanya relevan kepada sesetengah pihak dalam parti? Adakah prinsip dan pendirian hanya dinilai berdasarkan siapa yang bersuara, bukan apa yang disuarakan?

Lebih mengecewakan apabila NIA lebih cenderung mencadangkan penubuhan tribunal bebas bagi menyiasat dakwaan campur tangan, bukannya RCI. Ini menimbulkan persepsi bahawa siasatan tersebut hanya akan berakhir pada tahap teknikal dan terhad, bukannya menyentuh keseluruhan sistem termasuk kemungkinan peranan pejabat Perdana Menteri sendiri. Cadangan tribunal seolah-olah hanya menyentuh simptom, bukannya punca. Ia menjadi ironi apabila seorang yang berjuang atas nama reformasi bertindak separuh jalan apabila reformasi sebenar sedang dituntut.

Rakyat semakin cerdik dalam menilai gerak geri politik. Mereka tidak lagi kagum dengan simbolik kosong, sebaliknya mahukan ketegasan yang konsisten dan keberanian yang tidak selektif. Penyertaan dalam perarakan bukanlah satu kesalahan tetapi apabila dilakukan oleh pemimpin utama parti pemerintah dan dalam konteks yang menyentuh kedudukan bapanya sendiri, ia mengundang persoalan kejujuran politik dan ketelusan niat. 

Langkah kiri Nurul Izzah yang akan membawa padah.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
15 Julai 2025
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Ulasan