
Putra Heights: Perlu tunggu tragedi berikutnya terjadi?
July 2, 2025
KUALA LUMPUR: Laporan siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang antara lain menyebut kelemahan struktur tanah sebagai punca utama letupan itu dilihat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, laporan itu turut menimbulkan rasa curiga kerana ia seolah-olah melepaskan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab.
“Persoalan-persoalan yang perlu dijawab mengapa pengumpulan air bawah tanah tidak dikesan lebih awal? Sekiranya benar pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang menyebabkan tanah menjadi lembut.
“Apakah tiada sistem pemantauan atau audit geoteknikal berkala dijalankan semasa penyelenggaraan rutin oleh pihak berwajib? Bukankah ini sepatutnya sebahagian daripada protokol keselamatan asas?
“Jika perubahan iklim menyebabkan tekanan ke atas struktur tanah dan paip, maka di mana kajian impaknya terhadap integriti saluran paip gas? Kenapa tiada intervensi awal?” soalnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, jika kepadatan menjadi faktor, ia menunjukkan kelemahan perancangan bandar dan penguatkuasaan zon keselamatan, selain menimbulkan persoalan tentang pihak yang meluluskan pembangunan di kawasan berisiko.
Selain itu, tindakan menyalahkan tanah menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab jurutera, agensi teknikal dan pengurusan projek, sedangkan standard keselamatan industri negara diketahui sangat ketat.
“Jika benar seperti laporan itu, maka seluruh rangkaian paip gas di Malaysia yang beribu kilometer panjangnya mungkin berada dalam bahaya yang sama. Maksudnya, semua kawasan perumahan.
“Premis perniagaan dan sekolah yang terletak berdekatan laluan paip boleh dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi,” ujarnya.
Tegas beliau, laporan itu tidak boleh dianggap ‘kes selesai’ tanpa pengesahan bebas pihak ketiga, malah kerajaan perlu mendedahkan laporan penuh siasatan teknikal secara telus kepada rakyat.
“Jika benar ini ‘act of God’, maka perlukah kita tunggu bencana berikutnya sebelum bertindak? Justeru adalah perlu untuk kerajaan menyatakan apakah pelan tindakan segera untuk mengkaji semula keselamatan semua laluan paip gas negara?
“Siapa yang akan memantau, mengaudit dan memperbetulkan kelemahan sistemik dalam perancangan, pembinaan dan penyelenggaraan paip ini? Insiden Putra Heights tidak boleh dibiarkan menjadi sekadar nota kaki dalam laporan pasca bencana.
“Ia adalah amaran keras bahawa sistem kita dari sudut teknikal, pentadbiran dan politik sedang diuji. Jika kita terus menuding kepada tanah, cuaca dan ‘takdir’ tanpa pembaharuan yang tegas, maka kita hanya menunggu tragedi berikutnya untuk terjadi,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2025
Ulasan
Catat Ulasan