REFORMASI SISTEM KEHAKIMAN ATAU PELANTIKAN POLITIK BERWADAH BARU?


REFORMASI SISTEM KEHAKIMAN ATAU PELANTIKAN POLITIK BERWADAH BARU?

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Apabila Ketua Hakim Negara yang baharu mempunyai latar belakang sebagai bekas Ketua Bahagian UMNO, bekas Timbalan Menteri, bekas Senator lantikan politik, malah pernah menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya, maka timbul persoalan yang amat wajar dibangkitkan oleh rakyat: Adakah ini yang dimaksudkan dengan reformasi sistem kehakiman yang dimaksudkan?

Prinsip utama dalam sebuah sistem demokrasi yang berfungsi adalah kebebasan institusi kehakiman daripada pengaruh eksekutif dan politik kepartian. Badan kehakiman bukan sekadar memutuskan kes tetapi ia mencerminkan maruah, keadilan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem negara.

Jika pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman datang daripada latar yang begitu jelas terikat dengan sejarah politik satu parti, maka bagaimana rakyat boleh diyakinkan bahawa sistem ini benar-benar bebas dan tidak berpihak?

Reformasi bukan sekadar slogan. Ia bukan soal menukar individu dengan yang lebih “boleh dipercayai”, tetapi soal merombak struktur dan budaya lama yang membenarkan dominasi politik ke atas institusi penting negara. Reformasi kehakiman sepatutnya meletakkan keutamaan kepada integriti, kelayakan perundangan dan yang paling penting, persepsi bebas daripada pengaruh politik.

Ada yang berhujah bahawa seseorang itu boleh berubah. Ya, manusia boleh berubah. Tetapi dalam isu melibatkan integriti institusi, persepsi awam adalah segalanya. Sebuah sistem keadilan yang adil bukan hanya perlu melaksanakan keadilan tetapi juga dilihat adil oleh seluruh rakyat.

Apakah pelantikan ini menambah keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman, atau sebaliknya mengukuhkan tanggapan bahawa badan kehakiman masih dikongkong oleh acuan politik lama?

Saya tidak menilai peribadi tetapi saya menilai prinsip. Jika reformasi yang dijanjikan akhirnya membawa kita kembali kepada pelantikan politik yang dibungkus dengan wajah baharu maka inilah kesinambungan budaya lama, bukan reformasi.

KFAK, 18 Julai 2025
Komplek PAS Kedah

Ulasan