TEOH BENG HOCK : JANJI YANG DIMUNGKIRI, DIAM YANG MENYAKITKAN





TEOH BENG HOCK : JANJI YANG DIMUNGKIRI, DIAM YANG MENYAKITKAN

Oleh: Khairul Faizi bin Ahmad Kamil

Lebih 16 tahun telah berlalu sejak kematian tragis Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai 2009. Namun hingga hari ini, persoalan utama masih belum terjawab, siapa yang bertanggungjawab menyebabkan kematian beliau? Mengapa kebenaran masih gagal didedahkan?

Ketika tragedi ini berlaku, DAP parti yang mendiang wakili ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah adalah antara yang paling ke hadapan dalam memperjuangkan keadilan untuk Teoh. Malah, isu ini dijadikan simbol perjuangan anti-kezaliman dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan ketika itu. Kempen demi kempen dijalankan, janji demi janji ditabur; “Kami akan cari pembunuh Teoh Beng Hock!”, laung mereka dengan penuh semangat.

Keluarga mendiang sentiasa mendapat tempat di medan ceramah dan sidang media, ruang seluasnya diberikan bagi menunjukkan zalimnya kerajaan ketika itu sehingga isu ini berjaya meraih simpati masyarakat khususnya di kalangan pengundi Cina.

Namun, setelah dua kali berada dalam kerajaan iaitu Pakatan Harapan 1.0 (2018–2020) dan kini dalam Kerajaan Perpaduan (PH-BN), isu ini semakin sepi. Pemimpin DAP kini lebih banyak berdiam diri. Tiada desakan terbuka, tiada pendedahan baharu, tiada langkah konkrit mencari keadilan. Apa yang tinggal hanyalah tunduk hormat 30 saat oleh pemimpin DAP di hadapan keluarga mendiang, diiringi permohonan maaf dan tawaran pampasan daripada pihak SPRM.

Di mana prinsip yang dahulu dilaungkan? Pemimpin DAP bukan pemimpin pinggiran dalam Kerajaan tetapi memegang kuasa utama yang sudah tentu boleh digunakan untuk mendapatkan jawapan yang masih belum terungkap sehingga kini.

Realitinya, DAP kini terperangkap dengan janji mereka sendiri. Ketika menjadi pembangkang, mereka menjadikan kematian Teoh Beng Hock sebagai bahan utama kempen politik, khususnya untuk meraih simpati pengundi Cina dan mencetuskan kemarahan terhadap Barisan Nasional. Tetapi kini, apabila berada dalam tampuk kuasa, mereka sedar bahawa membuka semula kes ini secara menyeluruh berisiko besar: ia boleh menggugat institusi kerajaan, mendedahkan kelemahan dalaman SPRM dan menimbulkan ketegangan dalam kerajaan campuran yang mereka sendiri menjadi sebahagian daripadanya.

Mereka juga sedar bahawa pengundi khususnya masyarakat Cina bandar mula sedar bahawa isu Teoh Beng Hock telah dijadikan modal politik, bukan perjuangan tulen. Justeru, cubaan untuk “menutup cerita” dengan simbolisme tunduk hormat dan bayaran pampasan kini dilihat sebagai penghinaan kedua terhadap keluarga mendiang, setelah janji keadilan tidak ditepati.

Namun, keluarga Teoh menolak tawaran ini. Mereka menuntut apa yang dijanjikan: bukan wang tetapi kebenaran dan keadilan. Mereka mahukan DAP tunaikan janji, bukan tunduk 30 saat, tetapi bangun dan bertindak seperti dahulu.

Pertanyaan yang tidak boleh dielak:

i.Kenapa DAP memilih untuk diam sekarang?

ii.Kenapa SPRM masih tidak dipertanggungjawabkan sepenuhnya?

iii.Kenapa kematian seorang anak muda yang menjadi simbol perjuangan dahulu kini dianggap sebagai liabiliti politik?

Kebenaran tetap kebenaran, walau siapa pun yang berkuasa. Diamnya DAP hari ini bukan sahaja merosakkan imej parti itu di mata rakyat tetapi membuktikan siapa DAP yang sebenarnya. Jika dahulu Teoh Beng Hock dijadikan ikon perjuangan, hari ini namanya jadi saksi kepada kemunafikan kuasa.

DAP harus ingat, rakyat tidak mudah lupa. Mungkin kerana DAP sudah bersama UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan maka semuanya telah dilupakan.

KFAK

Ulasan